[VIDEO] Ada sebab lelaki pendam rasa, cuma luah dekat ibu jika rindu dan banyak masalah


  • Bonda
  • Rabu, 13 Ogos 2025

Lelaki lebih selesa meluahkan perasaan hanya kepada ibu berbanding berkongsi dengan orang lain. — Gambar hiasan/Janaan AI

BERGELAR seorang lelaki sering disinonimkan dengan fizikal yang kuat dan hati kental, manakala menangis sering dianggap tanda kelemahan. 

Oleh sebab itu, ramai lelaki memilih untuk memendam perasaan. Namun, realitinya tidak semua lelaki memiliki sifat sedemikian.

Ketika dunia terasa berat, golongan tersebut lebih selesa meluahkan perasaan hanya kepada ibu berbanding berkongsi dengan orang lain.

Baru-baru ini, sebuah video tular di TikTok memperlihatkan seorang remaja lelaki menangis sambil meluahkan rasa rindu dan kasih sayangnya kepada ibu, menarik perhatian ramai warga maya.

BACA LAGI: Jangan remehkan 'love language' suami, ini bukan K-drama!

BACA LAGI: [VIDEO] Saya cipta produk biar semua mampu beli, tak nak pelanggan stress — Christy Ng

Video berdurasi kurang dua minit itu memperlihatkan lelaki berkenaan, yang disapa sebagai ‘adik’ dalam keluarganya, bertanyakan khabar ibunya sambil menitiskan air mata.

“Ibu sihat tak? Tak tahulah. Adik menangis tadi sebab fikir pasal ibu. Ibu jaga diri elok-elok dan jangan lupa makan,” katanya sambil teresak-esak.

Beliau turut meminta maaf kerana tidak mendengar nasihat ibunya.

“Adik minta maaf. Adik tak dengar cakap ibu. Ibu tunggu saya berjaya. Adik sambung kerja dulu. Adik sayang ibu sangat-sangat,” ujarnya.

Difahamkan, remaja yang memakai topi keledar dalam video itu bekerja sebagai penghantar makanan.

Hantaran video tersebut menerima pelbagai reaksi daripada warga maya, termasuk ibunya sendiri yang meninggalkan komen

Love you my handsome boy. Jaga diri baik-baik dan kerja elok-elok. Doa ibu sentiasa untuk adik,” tulis @sazielaazizi.

Rata-rata warga maya turut bersedih melihat hantaran video itu, selain ada yang menyelitkan jenaka dalam komen mereka.

“Abang, saya yang kuat pun keluar air mata saya bang,” komen @niellhywh.

“Mesti awak tengah penat kan dik? Sebab tu awak teringatkan ibu sampai menangis. Tapi kenapa awak ajak kami menangis bersama? Saya sudah tak ada ibu, ibu awak semestinya dah pun berbangga dengan awak dik,” kata @khaikhakha_zana.

“Luahlah adik, dunia memang keras. Kalau cara meluah boleh tenangkan adik. Doa ibu tiada hijab dik, awak pasti berjaya,” kata @syida. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram