
DI bumi Gaza, Palestin yang dilanda kehancuran, tangisan anak kecil bersatu dengan bunyi letupan.
Tidak ada lebih menyayat hati daripada melihat seorang ibu terpaksa memilih anak mana yang harus diberi makan hari ini.
Dalam dunia serba moden, ada keluarga terpaksa memberi makanan haiwan demi meneruskan hidup dan lebih tragis, ada yang terpaksa memakan kucing dan anjing.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Macam muzium mini', lelaki dekorasi lantai ruang tamu guna duit syiling
Itulah realiti kedaan di bumi Gaza yang mana kita tidak boleh lagi memalingkan muka, sekali gus memekakkan telinga.
Dalam temu bual Majoriti bersama Ketua Pembangunan Global Relief Trust (GRT) dari London, Atiqur Rahman, 39, kami menyelami hakikat 'tragis' kehidupan ibu bapa di Gaza yang bergelut setiap detik demi kelangsungan anak-anak mereka.
"Bayangkan ada tiga anak. Soalan mereka bukan ‘Apa kita makan hari ini?’ tapi ‘Siapa antara kita yang akan makan hari ini?"
"Ibu-ibu di Gaza kini memasak makanan haiwan. Mereka beri kepada anak-anak, bukan kerana mahu, tetapi kerana itu sahaja ada.
"Seorang ibu memberitahu saya, kalau ada sekilo makanan, dia akan bahagikan antara anaknya dan anjing jalanan. Terbukti dalam derita pun kasih sayang masih wujud," jelas Atiqur dalam nada yang tenang, namun penuh luka.
Penduduk di Gaza kini terpaksa makan rumput demi meneruskan kelangsungan hidup.
Dalam nada sebak, beliau menceritakan satu realiti ngeri ada keluarga yang telah mula memakan kucing dan anjing, malah sudah terdengar kisah mereka makan mayat-mayat.
"Ini bukan cerita dongeng. Ini adalah peringkat terakhir dalam survival manusia, bila semuanya telah hilang.
"Seorang ibu akan membunuh demi anak-anaknya. Tapi di Gaza, mereka tak mampu melindungi pun.
"Ramai ibu bapa di Gaza hari ini bukan lagi bercakap tentang masa depan anak-anak. Mereka hanya berdoa agar anak itu hidup sampai ke esok pagi.
"Seorang ayah yang kami bantu telah meninggal dunia kerana keletihan dan kelaparan. Anaknya berkata, ‘Ayah, kenapa tinggalkan saya? Saya boleh bertahan sehari lagi tanpa makan. Tapi bila ayah mati, rasa saya pun mati bersama," kongsi Atiqur.
Setiap hari, ibu bapa di Gaza terpaksa menanggung pilihan yang tidak patut wujud iaitu menyerahkan anak kepada kelaparan atau memberikan sesuatu berisiko membunuh mereka lebih awal.
Tubuh kanak-kanak di Gaza tidak lagi mampu menghadam makanan berat.
Tubuh anak di Gaza tak lagi mampu terima makanan
"Kalau kita beri mereka seketul coklat hari ini, ia mungkin membunuh mereka."
Menurut Atiqur, tubuh kanak-kanak yang telah berlapar terlalu lama tidak lagi mampu menghadam makanan berat.
Seperti yang pernah berlaku di Yaman, sesetengah anak perlu diberi pasir khas untuk melatih perut kembali bekerja.
"Organ dalaman mereka sudah gagal. Anda beri coklat, ia bukan hadiah, ia racun."
"Setiap malam, mereka ucap selamat tinggal kepada anak-anak. Setiap malam adalah malam terakhir.
"Setiap keluarga yang kami hubungi memberitahu perkara sama. Mereka akan bersalam dan peluk anak-anak sebelum tidur, kerana tiada siapa tahu siapa yang akan bangun keesokan harinya," jelas Atiqur.
Ini kerana suasana di Gaza yang mana bom jatuh setiap 10 minit kerana kehidupan bukan lagi milik mereka.
Ramai ibu bapa di Gaza hari ini hanya berdoa agar anak mereka hidup sampai ke esok pagi.
Realiti tak mampu kita bayang
"Di Gaza, kematian 10 orang sehari tidak mengejutkan. 100 orang? Masih tidak. Kita sudah biasa."
Dalam perkongsian yang menyayat hati, Atiqur menceritakan tentang seorang wartawan muda, Saed Abu Nabhan, 25, ingin menggunakan kameranya untuk bercerita tentang Gaza.
Namun, keesokan hari selepas beliau berkata demikian, Nabhan mati ditembak.
Ada juga seorang nenek berusia 90 tahun yang kehilangan seluruh keluarganya.
Beliau sudah kehilangan seluruh ahli keluarga, tidak mampu membeli makanan dan menunggu kematian sendirian.
"Saya masih fikir, adakah dia hidup saat ini?"
"Kita sedang saksikan satu-satunya pembersihan etnik secara langsung di hadapan mata. Tidak ada lagi alasan untuk tidak tahu.
Atiqur menyeru dengan penuh harapan serta tanggungjawab agar dunia dapat membantu rakyat di Gaza dengan semampu yang boleh.
"Jika kamu diberi pen, mikrofon, kamera, gunakan ia.
Kerana anak-anak Gaza tidak lagi mampu bersuara. Mereka hanya mampu menangis, dan dunia tidak lagi mendengar tangisan itu," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram