
ENAM tahun sudah berlalu sejak pemergian isteri tercinta, namun bagi pelukis Zawawi Zaid, kenangan bersama arwah isterinya, Sue tetap hidup segar di hati.
Rindu itu diubati dengan cara melukis kembali detik-detik awal perkenalan mereka sebagai tanda kasih yang tidak pernah pudar.
Menerusi hantaran di Facebook, Zawawi berkongsi dua ilustrasi bersaiz A4 yang dilukis menggunakan pensel picit dan pen teknikal.
BACA LAGI: [VIDEO] Busana putih, solekan natural serlah seri pengantin 'puteri' kesayangan Tiara Jacquelina
Lukisan Zawawi yang menggambarkan kenangan bersama arwah isterinya.
Lukisan itu menggambarkan momen mereka berdua di Restoran Haji Tapah, Medan Idaman, Gombak, Selangor iaitu tempat bermulanya kisah cinta yang tulus.
Mengimbau kembali 7 Julai 2000, Zawawi menceritakan bahawa ketika itu beliau dan arwah isterinya hanya berkawan rapat.
Sue sering berbicara tentang seorang lelaki yang disukainya, namun enggan mendedahkan identiti sebenar kerana malu.
“Dia kata, nanti abang dah kahwin, abang akan tahu siapa dia. Masa tu abang pasti akan menangis,” kata Zawawi mengenang kata-kata Sue.
Dalam gurauan, Zawawi pernah mengajak Sue untuk mendirikan rumah tangga.
“Susah-susah kita sajalah kahwin, Sue," katanya ketika itu.
Namun, gurauan itu menjadi nyata apabila pada tarikh keramat terbabit, Sue menghadiahkan sepucuk surat dua muka yang mendedahkan lelaki yang dimaksudkan selama ini sebenarnya adalah Zawawi sendiri.
“Ya ALLAH. Rupanya selama ini Sue ikhlas sukakan aku. Bergenang air mata terharu ketika membaca surat itu,” katanya.
Sue menyembunyikan identiti itu dengan mengatakan lelaki yang diminatinya berumur 28 tahun, sedangkan Zawawi ketika itu berusia 29 tahun.
Perincian kecil itu membuatkan Zawawi sama sekali tidak mengesyaki dirinya adalah insan istimewa yang dimaksudkan.
Setiap tahun, tarikh 7 Julai menjadi memori penting buat mereka berdua.
Kini, selepas genap enam tahun tiga bulan pemergian arwah Sue, Zawawi tetap mengirimkan doa dan pahala buat isteri pertamanya itu tanpa pernah jemu.
“Doa untuknya tidak pernah putus. Lukisan ini adalah luahan hati saya, cara saya menyimpan rindu,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram