Kakak redah asrama lepas adik 'call' mengadu akan dipukul geng senior


  • Cinta
  • Selasa, 12 Ogos 2025

Seorang wanita berkongsi pengalaman menyelamatkan adiknya daripada menjadi mangsa buli di asrama.

KES kematian tragis pelajar perempuan, Zara Qairina Azizi, akibat dipercayai menjadi mangsa buli baru-baru ini terus merentap hati rakyat Malaysia.

Ramai meluahkan rasa sedih, marah dan kecewa, malah ada yang berkongsi pengalaman sendiri berdepan situasi sama bagi menyelamatkan ahli keluarga daripada menjadi mangsa buli.

Bagi Fieza Abu, tragedi itu mengingatkannya pada detik cemas ketika adik lelakinya pernah dibuli sewaktu tinggal di asrama.

BACA LAGI: Ramai kanak-kanak obesiti hidap diabetes 'orang dewasa', perhati tanda-tanda ini

BACA LAGI: [VIDEO] Matcha, manfaat atau risiko untuk kesihatan haid wanita?

"Dulu adik saya pun mangsa buli. Dia telefon, kata ‘Kak, kau kena selamatkan aku hari ini, kalau tak malam ini aku mati kena pukul’.

Waktu itu saya tak fikir dah sistem sekolah, saya mengamuk nak bawa adik keluar dari asrama hari itu juga. Dapat keluar, saya terus selesaikan kes itu. Janji dia selamat," ceritanya di Threads.

Tuduhan mencuri punca dibuli

Menurut Fieza, sebelum kejadian itu adiknya sudah beberapa kali dipukul, tetapi memilih untuk bertahan.

Namun kali ini keadaan menjadi lebih serius apabila sekumpulan pelajar senior menuduhnya mencuri.

"Petang itu dia telefon sebab tahu malamnya dia akan ‘dikutip’ beramai-ramai oleh senior. Sebab itu dia takut dan minta saya datang ambil.

"Bezanya dia (Zara) adalah mangsa yang tak dapat diselamatkan hancur hati bila fikir," luahnya.

Pengalaman sama daripada orang lain

Luahan Fieza turut membuka ruang kepada pengguna lain untuk berkongsi pengalaman berdepan kes buli di sekolah.

Pengguna @adyerayazid menceritakan bagaimana dia menyelamatkan kakaknya:

"Malam itu saya seorang diri pergi asrama dia, ada enam orang yang buli. Saya seorang hentam mereka. Esoknya ketua mereka datang minta maaf pada kakak saya.

"Mereka ini tak berani pun sebenarnya, cuma konon kuat sebab ramai-ramai."

Bagi @lis_4.8 pula, tindakan tegas bapanya memberi pengajaran kepada pembuli:

"Abah saya tanya budak itu yang mana, tunggu luar kelas, ketuk pintu dan terus tampar. Cikgu pun tergamam."

Sementara itu, @orkedds berkongsi pengalaman adiknya yang menerima ugutan kerana disangka melaporkan pelajar lain merokok kepada guru.

Akibat ketakutan, adiknya ponteng sekolah selama seminggu sebelum keluarga campur tangan.

"Ayah minta adik letak jawatan pengawas, beli baju sekolah baharu dan pastikan dia dihantar dan dijemput terus di pintu pejabat sekolah. Pelajar terbabit akhirnya digantung sekolah.”

Kisah Fieza dan pengguna lain membuktikan naluri melindungi ahli keluarga boleh mengatasi segala protokol apabila nyawa dan keselamatan menjadi taruhan.

Tragedi Zara Qairina seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak bahawa kes buli bukan isu remeh, sebaliknya ancaman serius yang boleh meragut nyawa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram