
BEG tangan Hermes, jam tangan Patek Philippe dan ratusan barangan mewah lain antara 466 aset bernilai tinggi serta 58 jongkong emas yang disita dalam kes pengubahan wang haram terbesar Singapura, bernilai S$3 bilion (hampir RM10 bilion).
Kes tersebut terbongkar susulan serbuan besar-besaran polis pada Ogos 2023, melibatkan jutaan dolar hasil sindiket perjudian haram berpusat di Asia Tenggara.
10 pesalah membabitkan sembilan lelaki dan seorang wanita warga China yang mana semuanya mempunyai rekod jenayah telah disabitkan kesalahan, sekali gus menjalani hukuman penjara dan dihantar pulang ke negara asal.
BACA LAGI: Lukisan momen di Restoran Haji Tapah ubati kerinduan pada arwah isteri
Beg tangan Hermes yang dirampas menerusi serbuan yang dilakukan. — Agensi
Pada 11 dan 12 Ogos lalu, pegawai Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) menyerahkan aset rampasan kepada Deloitte & Touche Financial Advisory Services untuk pengurusan dan pelupusan.
Antara yang diserahkan termasuk kira-kira 50 beg berjenama Louis Vuitton, Hermes, Dior dan Chanel termasuk barangan paling seperti Hermes Birkin 25 Togo bernilai S$30,000 dan Hermes Kelly Alligator bernilai antara S$70,000 hingga S$120,000.
Turut disita sekurang-kurangnya 14 jam tangan mewah daripada jenama Patek Philippe, Richard Mille, Van Cleef & Arpels, Rolex dan Audemars Piguet.
Antaranya, Patek Philippe World Time Chronograph bernilai kira-kira S$120,000 dan Richard Mille RM 67 yang dianggarkan melebihi S$400,000.
Aset lain termasuk jongkong emas seberat 1kg setiap satu bernilai sekitar S$139,000 sebatang, barang kemas seperti anting-anting, gelang, rantai jed, pinggan emas hiasan serta tali pinggang mewah.
Jam tangan yang dirampas dalam kes pengubahan wang haram bernilai S$3 bilion. — Agensi
Semua barangan diperiksa, direkod, dibungkus dan disimpan dengan selamat sebelum proses jualan.
Menurut polis, aset akan dilupuskan melalui lelongan atau jualan terus selepas cadangan Deloitte mendapat kelulusan kerajaan.
Baki kira-kira S$2 bilion lagi dalam jumlah keseluruhan rampasan melibatkan 17 suspek yang masih bebas di luar bidang kuasa Singapura.
Pada Februari lalu, kerajaan mengumumkan sebanyak 54 hartanah, 33 kenderaan dan 11 keahlian kelab golf telah dilupuskan setakat Disember 2024, dengan S$1.8 juta dimasukkan ke dana disatukan negara.
Secara keseluruhan, sehingga Disember 2024, aset bernilai S$2.79 bilion telah diserahkan kepada kerajaan Singapura, merangkumi S$1.54 bilion dalam bentuk tunai atau aset kewangan, manakala selebihnya adalah aset bukan tunai seperti hartanah, kenderaan dan barangan mewah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram