
SIAPA sangka, beg tangan berbentuk sayur seperti tomato boleh mencetuskan fenomena dan menjadi buruan penggemar fesyen?
Meskipun dianggap tidak praktikal serta tidak sepadan dengan harganya yang mencecah ribuan ringgit, ia tetap menarik minat ramai, khususnya wanita.
Lebih menarik, rekaan beg berkenaan turut menjadi bahan jenaka di media sosial, namun dalam sekelip mata, ia habis terjual dan mengukuhkan lagi nama Loewe sebagai antara jenama mewah paling diperbualkan di dunia.
BACA LAGI: Hafiz, Syafiqah Aina labur RM2 juta bangunkan aplikasi demi kelangsungan ejen, stokis
BACA LAGI: Pilih satu gaun dan kenali personaliti anda, sama ada suka berangan atau memendam perasaan
Kelainan sebagai daya tarikan baharu
Bagi jenama-jenama fesyen mewah, nilai produk biasanya bergantung kepada warisan, mutu buatan tangan dan eksklusiviti.
Namun, beg tomato keluaran Loewe tampil berbeza. Ia bukan klasik, bukan minimalis dan jelas sekali bukan beg tangan konvensional.
Meskipun begitu, ia tetap laris dan mendapat sambutan hangat.
Simbol status baharu
Situasi ini selari dengan teori conspicuous consumption yang diperkenalkan oleh Ahli Ekonomi, Thorstein Veblen pada tahun 1899, iaitu teori yang menyatakan bahawa golongan kaya membeli barangan mahal semata-mata untuk menunjuk status sosial mereka.
Namun dalam realiti masa kini, status bukan lagi semata-mata tentang harga, sebaliknya turut melibatkan tumpuan masyarakat dan potensi untuk menjadi buah mulut.
Instagram dan media sosial telah mengubah cara pengguna menilai sesuatu jenama. Dalam banyak gambar yang cantik dan bergaya, yang pelik selalunya lebih mudah menarik perhatian.
Beg tomato Loewe bukan sahaja kelihatan menarik dalam gambar, malah mampu mencetuskan pelbagai reaksi seperti gelak ketawa dan rasa kagum.
Ia menjadi topik hangat, bahan jenaka, meme dan akhirnya simbol status baharu.
Butik musim panas Loewe di Marbella, Sepanyol ini adalah antara rangkaian kedai pop-up yang muncul di serata Mediterranean. - Loewe
Pelik tapi bernilai tinggi
Inilah yang membawa kepada idea bahawa produk pelik tetapi eksklusif boleh dijual pada harga jauh lebih tinggi daripada rekaan biasa.
Sebagai contoh, beg tomato yang dijual pada harga AS$3,950 (RM16,800) terjual lebih pantas berbanding beg kulit klasik bernilai AS$2,500 (RM10,600).
Pengguna moden mahukan cerita
Pengguna moden, terutamanya daripada kalangan Gen Z tidak hanya membeli produk untuk kegunaan semata-mata, malah mereka mencari bahan untuk dibualkan.
Mereka mahukan sesuatu yang boleh dibanggakan dan menjadi bahan cerita, contohnya memiliki beg berbentuk tomato yang bernilai hampir RM20,000.
Hari ini, kejanggalan dalam rekaan dilihat sebagai keberanian bergaya dan simbol rasa fesyen yang berbeza.
Eksklusiviti dan strategi terancang
Apabila selebriti mula menggayakan beg tersebut, tahap permintaan meningkat secara mendadak. Dengan stok yang terhad serta senarai menunggu sehingga enam bulan, beg tomato bukan lagi sekadar aksesori.
Sebaliknya, ia menjadi lambang eksklusiviti dan simbol gaya berfesyen yang tidak takut mencuba kelainan.
Kejayaan ini membuka jalan kepada pelancaran koleksi lain bertemakan buah-buahan dan sayur-sayuran oleh Loewe seperti strawberi, oren dan kacang pea.
Setiap satu daripadanya turut habis terjual dalam tempoh singkat. Jenama ini berjaya membuktikan bahawa keanehan bukan lagi sesuatu yang diketepikan dalam dunia fesyen, sebaliknya boleh dijadikan strategi perniagaan yang menguntungkan.
Kini, rekaan pelik yang mencetuskan perbualan sudah mula mengatasi gaya biasa yang selamat dan kelainan kini dianggap sebagai simbol status baharu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram