
JENAMA barang kemas mewah dari Itali, Bvlgari memperkenalkan rekaan terbaharu koleksi ikonik Divas’ Dream bagi tahun ini.
Sebanyak tujuh rekaan baharu mula diperkenalkan pada awal Julai, manakala satu lagi pelancaran rekaan istimewa dijadualkan pada September.
Koleksi ini menandakan permulaan baharu untuk Divas’ Dream apabila Bvlgari memperkenalkan emas kuning 18 karat buat pertama kali dalam siri ini.
BACA LAGI:Berhias, mekap bukan ukuran cantik, berikut cara kenal pasti wanita jenis pembersih atau tidak
BACA LAGI:Bukan hanya dipelihara dalam bingkai, tradisi perlu kekal hidup, terus relevan — Aaron Ago
Rekaan rantai ini menampilkan batu oniks hitam serta berlian, sesuai untuk gaya siang hingga ke malam.
Emas kuning ini menyerupai cahaya matahari dan menambahkan elemen kemewahan yang lebih terang sebagai pelengkap kepada emas ros yang telah lama menjadi identiti koleksi tersebut.
Gabungan dua tona memberikan nafas segar sambil mengekalkan keanggunan feminin yang menjadi signatur Divas’ Dream.
Divas’ Dream diinspirasikan daripada keindahan Rom, khususnya bentuk kipas yang menjadi elemen utama dalam reka bentuknya.
Bentuknya berasal daripada mozek mewah di Mandian Caracalla, iaitu salah satu tinggalan seni bina bersejarah Rom purba.
Bvlgari turut memainkan peranan dalam usaha pemuliharaan tapak tersebut pada 2016 sebagai tanda penghargaan terhadap warisan budaya Rom.
Namun begitu, bentuk kipas dalam koleksi ini bukan sahaja melambangkan seni bina Rom, malah ia juga mencerminkan simbol universal dari pelbagai tamadun.
Setiap subang dalam koleksi ini direka untuk digayakan secara individu atau digabungkan mengikut cita rasa peribadi.
Antaranya termasuk bunga teratai dari Mesir, kipas tradisional Jepun yang menggambarkan keharmonian, serta daun ginkgo yang sering dikaitkan dengan kebijaksanaan dalam falsafah Timur.
Kesemua simbol ini digabungkan dalam satu motif yang meraikan kecantikan dan penghormatan kepada jiwa serta kekuatan wanita.
Koleksi Divas’ Dream 2025 mengetengahkan hasil kerja tangan yang halus dengan reka bentuk kontemporari boleh digayakan dalam pelbagai suasana.
Antara rekaan utama dalam koleksi ini termasuk rantai loket dalam emas kuning 18 karat yang dihiasi batu oniks hitam, berlian potongan bulat dan berlian pavé.
Rantai ini turut dipadankan dengan subang stud yang menggunakan motif dan susunan hiasan yang sama.
Gaya ini sesuai untuk digayakan dari waktu siang yang kasual hingga ke acara malam yang lebih formal.
Selain itu, elemen emas ros masih dikekalkan dalam beberapa ciptaan lain. Antaranya ialah sepasang subang loket yang dihiasi batu mother-of-pearl, berlian dan berlian pave.
Empat subang tunggal turut diperkenalkan dalam koleksi ini yang direka untuk dipakai secara individu atau digabungkan bersama.
Setiap satu hadir dalam warna batu permata berbeza seperti mother-of-pearl, carnelian, malakit dan turquoise.
Kepelbagaian warna ini menyerlahkan gaya ceria dan moden, sesuai untuk wanita yang gemar bereksperimentasi dengan penampilan harian.
Menjelang September, Bvlgari akan melengkapkan koleksi ini dengan satu lagi rekaan istimewa, iaitu rantai dalam emas ros 18 karat yang dihiasi berlian pave serta motif kipas.
Reka bentuknya yang fleksibel membolehkan rantai ini dipakai dalam pelbagai cara, menjadikannya simbol kemewahan yang versatil dan bergaya.
Kesemua rekaan dalam koleksi Divas’ Dream 2025 akan tersedia di butik Bvlgari seluruh dunia dan juga di laman web rasmi bulgari.com.