
MATCHA, minuman kegemaran ramai, kini menjadi topik perbincangan hangat berhubung kesannya terhadap kesihatan wanita, khususnya kitaran haid.
Pakar farmasi Malaysia, Syah Farmasi, melalui video TikTok yang meraih perhatian, berkongsi amaran tentang kandungan kafein tinggi dalam matcha.
"Period jadi tak teratur, cuba periksa balik pengambilan matcha kita. Tahu tak, matcha ini tinggi kandungan kafein. Lebih kurang 70mg dalam secawan kalau diambil berlebihan," katanya.
BACA LAGI: Kedai barangan terpakai 'simpan' objek dekor unik, iBoss jadi tumpuan 'bargain hunter'
Beliau menjelaskan kafein boleh mengganggu hormon progesteron dan estrogen, menyebabkan haid lambat atau tidak teratur, senggugut lebih teruk dan mood swing seperti rollercoaster sebelum datang bulan.
Syah mencadangkan wanita yang mengalami gejala itu berhenti minum matcha selama seminggu atau dua untuk memerhatikan perubahan, sambil menegaskan, "Matcha itu tak salah, tapi yang penting kita tahu berapa banyak yang kita perlu minum."
Namun begitu, perkongsian daripada Lunette pula menonjolkan manfaat matcha semasa haid.
Matcha, yang kaya dengan L-Theanine, membantu mengurangkan kekejangan rahim dengan melonggarkan otot dan salur darah, sekali gus mengurangkan kesakitan senggugut.
Antioksidan dalam matcha, termasuk EGCG, bertindak sebagai anti-radang semula jadi untuk mengurangkan sakit badan dan kembung, sambil turut menyokong penurunan berat badan.
L-Theanine juga mempromosikan ketenangan, mengurangkan tekanan akibat turun naik testosteron dan meningkatkan tumpuan berbanding kesan diuretik dan kemerosotan tenaga daripada kopi.
Tambahan pula, matcha merangsang pengeluaran dopamin dan serotonin, membantu mengurangkan mood swing yang sering dikaitkan dengan turun naik hormon estrogen dan progesteron semasa haid.
Perbezaan pandangan itu menyerlahkan kepentingan pengambilan matcha secara sederhana.
Kajian saintifik menyokong kedua-dua hujah, dengan penemuan daripada American Journal of Clinical Nutrition 2016 dan Journal of Women's Health 2020 mengesahkan risiko kafein tinggi terhadap hormon dan kitaran haid.
Wanita digalakkan memantau pengambilan kafein dan berunding dengan doktor sekiranya mengalami gangguan haid yang berterusan, sambil mempertimbangkan faktor lain seperti tekanan dan diet. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram