Kedai barangan terpakai 'simpan' objek dekor unik, iBoss jadi tumpuan 'bargain hunter'


  • Hias
  • Khamis, 07 Ogos 2025

iBoss penuh dengan barangan terpakai berwajah baharu.

DALAM dunia perniagaan, tidak semua yang dirancang menjadi.

Namun, bagi pasangan suami isteri Mohd Yusree Hashim, 58, dan Zainura Taib, 58, detik kegagalan membuka cawangan mini market kedua sekitar 2007, menjadi titik tolak lahirnya iBoss.

Sebuah kedai barangan terpakai yang kini dikenali ramai.

BACA LAGI: Setiap bahagian ada fungsi, suhu tertentu, susun atur peti sejuk rahsia makanan tahan lama

BACA LAGI: Setiap bulan upah servis bersih, kemas rumah mak di kampung, hati rasa tenang, rezeki melimpah walau 'sekecil' perkara

"Sebenarnya tak dirancang langsung," kata Yusree membuka kisah awal penubuhan iBoss.

Selepas menutup cawangan mini market kedua kerana kos yang tinggi dan sambutan suram, mereka memanfaatkan ruang kedai yang kosong dengan mengumpul barangan restoran terpakai.

Dari situlah bisnes barangan terpakai mereka bermula.

"Apa yang nampak macam kegagalan, sebenarnya bukakan pintu untuk peluang baharu," kata Yusree kepada Majoriti.

Nama iBoss sudah sinonim dengan kedai barangan terpakai dan hingga kini menjadi lokasi tumpuan ramai.

Dari mini market ke dunia barangan terpakai

Menurut mereka, pada awalnya, barangan-barangan tersebut dijual secara kecil-kecilan.

Namun selepas melihat sambutan yang berterusan dan permintaan meningkat, mereka mengorak langkah untuk serius dalam perniagaan ini.

Kini, iBoss dikenali bukan sahaja sebagai kedai barangan terpakai, tetapi sebagai tempat di mana nilai lama diberi nafas baharu.

Ia hadir dengan konsep 'refurbish, recycle, resell' yang mereka amalkan.

"Kita bukan hanya jual apa yang orang buang, tapi kita baiki, kita cuci, kita bagi nafas baru," jelas Zainura.

Mohd Yusree Hashim

Kenapa nama iBoss?

Menurut pasangan ini, nama iBoss sendiri muncul secara spontan hasil perbincangan bersama anak-anak mereka.

"Saya yang tentukan nilai barang itu. Saya bos untuk setiap barang yang kami ambil dan jual," kata Yusree berseloroh.

Konsep itu datang daripada kefahaman bahawa walaupun sesuatu barang sudah tidak dipandang bernilai oleh pemilik asal, ia tetap punya potensi tinggi jika dijaga dan dipersembahkan semula dengan cara yang betul.

Gedung iBoss mempunyai pasukan khas untuk pembelian dan pemeriksaan barang.

Apa bezanya iBoss?

Jika ditanya apa yang membezakan iBoss dengan kedai barangan terpakai lain, jawapan mereka mudah, kualiti dan servis.

"Di iBoss, setiap barang yang masuk, kita tapis. Kita baiki, cat, bersihkan, balut elok-elok. Baru kita letak di rak untuk dijual. Semua ini ada proses teknikal tersendiri," jelas Zainura.

Mereka juga mempunyai pasukan khas untuk pembelian dan pemeriksaan barang, dan segala pembayaran dilakukan secara telus melalui transaksi atas talian.

Siapa pelanggan iBoss?

Majoriti pelanggan mereka adalah pemilik perniagaan dari syarikat korporat, kedai makan, hingga pengusaha homestay.

"Biasanya, orang yang nak buka pejabat tak akan beli barang baharu. Mahal. Kami tawarkan barang berkualiti dengan harga berpatutan," kata Yusree.

Namun begitu, pelanggan individu seperti pelajar, pemilik rumah sewa dan keluarga baharu turut kerap membeli barang dari iBoss.

Terutama mereka yang berpindah dari luar kawasan dan memerlukan kelengkapan asas dengan bajet terhad.

Ada pelbagai barangan rumah yang unik dan bersifat antik di iBoss.

Barangan popular dan cerita 'wow'

Antara barang paling laris termasuklah perabot pejabat seperti kerusi dan meja, barangan restoran serta perabot rumah seperti sofa dan kabinet televisyen.

Menurut Zainura, pelanggan sering kali terkejut dengan keadaan barang yang diterima.

"Datang kedai, tengok biasa sahaja. Tapi bila sampai rumah, tengok cantik, bersih, macam baharu. Itu feedback yang buat kami puas hati," katanya.

Zainura turut berkongsi pengalaman menjual sebatang kayu besar yang dianggap tidak bernilai oleh orang biasa, tetapi dibeli seorang pelanggan kerana menyedari keunikan dan nilai seni kayu tersebut.

"Dia kata, murah sangat! Saya letak RM200, dia terus ambil. Itulah nilai terletak pada mata yang melihat," jelas Zainura.

Ruang baik pulih barangan terpakai di iBoss.

Cabaran dan perubahan persepsi

Pasangan ini turut mengakui antara cabaran terbesar kini ialah kekurangan tenaga kerja, khususnya pekerja tempatan yang enggan melakukan kerja berat seperti mengangkat barang atau membaiki perabot.

Namun begitu, mereka melihat perubahan positif dari segi penerimaan masyarakat terhadap barangan terpakai.

"Kalau dulu, orang dengar ‘second-hand’, terus rasa murah dan rosak. Tapi sekarang, ramai yang datang cari barang lama sebab kualitinya lebih tahan dan harganya jauh lebih jimat," kata Yusree.

Media sosial seperti Facebook menjadi ruang untuk mempromosikan iBoss.

Dalam menyesuaikan diri dengan trend semasa, iBoss kini menggunakan media sosial seperti Facebook untuk promosi serta menggaji pasukan khas untuk pemasaran dalam talian.

Namun, menurut mereka, bisnes barangan terpakai lebih sesuai dijalankan secara fizikal, kerana pelanggan ingin melihat dan menilai sendiri kualiti barang.

"Kita bukan Shopee. Barang kita terhad, setiap satu lain. Kadang-kadang barang ini cuma satu sahaja, siapa cepat dia dapat," jelas Zainura.

Perancangan 10 tahun akan datang?

Pasangan ini melihat masa depan iBoss cerah, selagi mana masyarakat melihat nilai dalam kualiti dan penjimatan.

Antara impian mereka termasuk bekerjasama dengan pereka dalaman (interior designer) untuk mengangkat barangan terpakai dalam konsep dekorasi moden.

"Kalau boleh, kita nak orang nampak yang perabot lama pun boleh masuk dalam rumah atau pejabat moden. Janji tahu mix and match," ujar Yusree.

Nasihat buat yang masih ragu-ragu

"Barang lama bukan barang tak guna. Kualiti itu penting. Barang baharu pun akan jadi lama. Tapi kalau barang itu tahan 10 tahun, kenapa nak beli baharu setiap tahun?" pesan Yusree.

Zainura pula menambah: "Kita sendiri yang tentukan nilai barang itu. Kalau kita nampak nilai, kita akan jaga, bila kita jaga, barang itu akan kekal lama."

iBoss, lebih daripada sekadar kedai barangan terpakai, ia adalah bukti bahawa dengan sedikit kreativiti, kerja keras dan mata yang menghargai, apa yang dianggap lama mampu menjadi baharu semula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram