Dari Godzilla ke Shinobi, trauma bom atom bentuk budaya, nadi utama karya Jepun


  • Hias
  • Rabu, 06 Ogos 2025

Godzilla bukan sekadar raksasa fiksyen kerana ia lahir daripada trauma nuklear dan menjadi simbol ketakutan serta ketahanan dalam budaya Jepun. — Agensi

LAPAN dekad telah berlalu sejak bom atom digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki, namun kesannya masih meresap jauh ke dalam budaya popular Jepun.

Daripada nafas api Godzilla, ke anime dan karya-karya seni yang menggambarkan kesengsaraan akibat radiasi.

Sejak Perang Dunia Kedua, tema kemusnahan dan mutasi akibat senjata nuklear bukan sahaja dipaparkan secara terus, tetapi turut digabungkan dengan ketakutan terhadap bencana alam dan tragedi moden seperti krisis nuklear Fukushima.

BACA LAGI: Setiap bulan upah servis bersih, kemas rumah mak di kampung, hati rasa tenang, rezeki melimpah walau 'sekecil' perkara

BACA LAGI: Tepis tanggapan vaksin hanya untuk kanak-kanak, PCV20 bantu lindungi daripada 20 jenis bakteria pneumokokus

Dalam konteks itu, trauma kolektif telah menjadi inspirasi kepada pelbagai siri manga dan anime terkenal, dari Astro Boy (yang dinamakan Mighty Atom dalam versi Jepun) hingga letupan bandar besar dalam Akira, Neon Genesis Evangelion dan Attack on Titan.

Profesor sejarah di Universiti Ottawa, William Tsutsui, menjelaskan bahawa tema 'mengharungi kesakitan luar biasa' dan bangkit dari trauma sering kali menjadi nadi utama karya-karya budaya Jepun.

Ia juga sesuatu budaya yang terus menarik minat penonton global.

Mengharungi kesakitan luar biasa dan bangkit dari trauma sering kali menjadi nadi utama karya-karya budaya Jepun.  Agensi

Memori sukar dilupakan

Bom atom yang dijatuhkan ke atas Hiroshima pada 6 Ogos 1945 mengorbankan sekitar 140,000 nyawa, diikuti serangan di Nagasaki yang meragut 74,000 nyawa beberapa hari kemudian.

Menurut penulis Yoko Tawada, banyak karya seni dan sastera Jepun menyentuh topik itu secara tidak langsung kerana kesukaran untuk menyampaikan pengalaman sedemikian secara terus.

"Pengalaman ini tiada rujukan sejarah sebelumnya, jadi sukar untuk ia benar-benar diserap sebagai kenangan dalam hati manusia," kata Tawada kepada AFP.

Buku beliau The Emissary yang diterbitkan pada 2014 mengetengahkan dunia selepas suatu bencana yang tidak dinamakan.

Ia diinspirasikan oleh hubungan antara bom atom, tragedi nuklear Fukushima pada 2011 dan penyakit Minamata keracunan merkuri akibat pencemaran industri di Jepun sejak 1950-an.

Namun, mesej bukunya bukan semata-mata sebagai amaran, katanya: "Ia lebih kepada menyampaikan bahawa walaupun keadaan menjadi buruk, manusia tetap akan mencari jalan untuk terus hidup."

Godzilla digambarkan sebagai makhluk purba yang dihidupkan semula akibat ujian bom hidrogen oleh Amerika Syarikat. — Agensi

Godzilla simbol ketakutan nuklear

Godzilla merupakan antara representasi paling terkenal tentang hubungan kompleks Jepun dengan teknologi nuklear.

Dalam filem asal pada 1954, Godzilla digambarkan sebagai makhluk purba yang dihidupkan semula akibat ujian bom hidrogen oleh Amerika Syarikat di Lautan Pasifik.

"Kita perlukan raksasa untuk memberi rupa dan bentuk kepada ketakutan yang abstrak," kata Profesor Tsutsui, penulis buku Godzilla on My Mind.

Pada era 1950-an, Godzilla memainkan peranan penting dalam meluahkan ketakutan rakyat Jepun terhadap tenaga atom dan kenangan pahit bom atom.

Malah, terdapat dakwaan bahawa kulit Godzilla yang berkedut-kedut diinspirasikan daripada parut keloid yang dialami oleh mangsa bom atom Hiroshima dan Nagasaki.

Dalam hampir 40 filem Godzilla yang dihasilkan selepas itu, tema nuklear masih wujud tetapi semakin dikurangkan.

Ia kerana untuk mengelak sensitiviti penonton Amerika.

Namun, populariti francais itu kekal, dengan filem Shin Godzilla (2016) dilihat sebagai kritikan terhadap cara Jepun menangani krisis nuklear Fukushima selepas tsunami.

Dalam hampir 40 filem Godzilla yang dihasilkan selepas itu, tema nuklear masih wujud tetapi semakin dikurangkan. — Agensi

Salah satu novel paling dikenali tentang pengeboman Hiroshima ialah Black Rain (1965) karya Masuji Ibuse, yang mengisahkan kesan radiasi dan diskriminasi terhadap mangsa.

Namun, fakta bahawa Ibuse bukan seorang mangsa bom atom telah mencetuskan perdebatan siapakah yang layak menulis tentang pengalaman sebegitu?

"Bagaimana kita mengolah kesusasteraan daripada peristiwa sebenar sentiasa menjadi isu yang rumit.

"Adakah seseorang itu dibenarkan menulis tentangnya jika dia tidak mengalaminya secara langsung?" ujar Victoria Young dari Universiti Cambridge.

Penulis yang memenangi Hadiah Nobel, Kenzaburo Oe pula mengumpul kisah sebenar mangsa dalam Hiroshima Notes, karangan yang ditulis berdasarkan lawatan beliau ke bandar itu pada tahun 1960-an.

Oe cuba mendekati realiti itu melalui sudut peribadi, termasuk hubungannya dengan anak lelakinya yang kurang upaya, menurut Tawada.

Ilustrasi dalam buku bergambar tentang pengeboman atom mengingatkannya kepada gambaran neraka dalam seni klasik Jepun.  Agensi

Bagi Tawada, pendidikan anti-perang yang diterimanya semasa membesar kadangkala menampilkan Jepun hanya sebagai mangsa dalam Perang Dunia Kedua.

Namun, beliau menekankan pentingnya melihat keseluruhan gambaran sejarah, termasuk kekejaman yang dilakukan Jepun semasa perang.

Sebagai seorang kanak-kanak, ilustrasi dalam buku bergambar tentang pengeboman atom mengingatkannya kepada gambaran neraka dalam seni klasik Jepun.

Ia sesuatu yang membuatkan beliau tertanya-tanya sama ada tamadun manusia itu sendiri menyimpan bahaya yang tersembunyi.

"Bila difikirkan semula, senjata nuklear tidak terasa seperti hasil kemajuan teknologi semata-mata, tetapi seakan-akan sesuatu yang telah lama wujud dalam sifat manusia itu sendiri." — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram