Skil bukan setakat hias ruang, pilih warna langsir, berikut panduan untuk jadi pereka dalaman profesional


  • Hias
  • Khamis, 07 Ogos 2025

Seorang pereka dalaman perlu mempunyai pengetahuan tentang struktur bangunan, teori warna, pencahayaan dan fabrik juga penting. — Gambar hiasan/Canva

JIKA anda mengetahui bahawa Mocha Mousse bukan pencuci mulut, tetapi rona Pantone atau nama seperti Bobby Berk lebih dikenali sebagai Queen of Interiors berbanding personaliti televisyen, tahniah anda berada di landasan tepat untuk menjadi pereka dalaman.

Dunia reka bentuk dalaman bukan sekadar susun atur langsir, susunan pasu atau pemilihan perabot mewah.

Ia adalah gabungan antara fungsi, keindahan dan kefahaman tentang bagaimana sesuatu ruang itu mempengaruhi perasaan dan pengalaman penggunanya.

BACA LAGI: Setiap bahagian ada fungsi, suhu tertentu, susun atur peti sejuk rahsia makanan tahan lama

BACA LAGI: Setiap bulan upah servis bersih, kemas rumah mak di kampung, hati rasa tenang, rezeki melimpah walau 'sekecil' perkara

Dalam erti kata lain, pereka dalaman membawa kehidupan ke dalam ruang dan kerjaya itu kini semakin mendapat tempat, bukan sahaja di Australia, malah di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Menurut Dr Vanessa Galvin daripada Curtin University, pereka dalaman bijak mencipta suasana dan pengalaman menerusi setiap susun atur serta pemilihan bahan.

Ini bukan sekadar seni menghias, tetapi juga melibatkan psikologi ruang, tanggungjawab sosial dan teori warna.

Reka bentuk yang berjaya memberi nilai kepada ruang menjadikannya bukan sahaja cantik dipandang, tetapi selesa, selamat dan praktikal.

Beza pereka dalaman, arkitek dalaman, penghias

Banyak orang keliru antara istilah pereka dalaman (interior designer), arkitek dalaman (interior architect) dan penghias dalaman (interior decorator).

Di Australia, contohnya, hanya individu berdaftar boleh menggunakan gelaran arkitek, jadi walaupun kursus yang ditawarkan disebut 'Interior Architecture', graduannya tetap dikenali sebagai pereka dalaman.

Arkitek dalaman dan pereka dalaman biasanya mempunyai latar belakang pendidikan yang serupa ini termasuk pengetahuan teknikal dalam struktur bangunan, perancangan ruang, pematuhan kod bangunan dan juga pemilihan bahan.

Sebaliknya, penghias dalaman lebih fokus kepada gaya dan estetika seperti memilih warna, fabrik, lampu dan seni hiasan tanpa mengubah struktur asal sesebuah ruang.

Pereka dalaman perlu menguasai kombinasi antara kemahiran teknikal dan kreativiti.

Langkah menjadi pereka dalaman

Untuk menjadi pereka dalaman profesional, langkah pertama ialah mendapatkan pendidikan formal.

Di Australia, misalnya, universiti seperti Curtin menawarkan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan dalam Interior Architecture.

Kursus itu merangkumi latihan praktikal dan pengalaman industri di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Ia sesuatu yang sangat penting dalam membina kemahiran dan keyakinan.

Bagi yang berada di Malaysia, banyak institusi tempatan dan antarabangsa turut menawarkan program serupa, termasuk diploma dan ijazah reka bentuk dalaman yang diiktiraf.

Sama ada anda belajar di Kuala Lumpur atau Perth, prinsip asasnya tetap sama.

Anda perlu menguasai kombinasi antara kemahiran teknikal dan kreativiti.

Selain pendidikan, pengalaman lapangan juga memainkan peranan penting dengan menyertai latihan industri atau bekerja sambilan dengan firma reka bentuk boleh membuka pintu kepada pemahaman sebenar dunia kerja.

Inilah peluang untuk belajar cara berurusan dengan klien, mengurus bajet, memahami keperluan projek dan mengatasi cabaran sebenar dalam bidang ini.

Satu lagi aspek penting ialah membina portfolio.

Dokumentasikan semua hasil kerja anda, sama ada lakaran tangan, pelan teknikal, mood board atau gambar sebelum dan selepas projek.

Portfolio bukan sahaja menjadi bukti kemahiran anda, tetapi juga menggambarkan identiti dan gaya reka bentuk anda sendiri.

Ramai pereka dalaman juga memilih untuk mengkhusus dalam reka bentuk mampan.

Peluang kerjaya, arah tujuan

Pereka dalaman tidak terhad kepada rumah atau kediaman.

Ramai juga yang bekerja dalam sektor komersial seperti hotel, restoran, pejabat korporat dan butik mewah.

Ada juga yang terlibat dalam reka bentuk hospital, sekolah dan ruang awam, malah ada yang membina ruang maya seperti kedai atas talian atau dunia permainan digital.

Kerjaya itu boleh dijalankan secara bebas (freelance) atau dengan firma reka bentuk dalaman, firma seni bina, syarikat pembinaan mahupun syarikat teknologi.

Dalam dunia hari ini yang semakin menitikberatkan kelestarian, ramai pereka dalaman juga memilih untuk mengkhusus dalam reka bentuk mampan.

Ini termasuk memilih bahan yang mesra alam, tempatan dan tahan lama sebagai sesuatu yang kini menjadi nilai tambah dalam industri.

Kemahiran seperti komunikasi, pengurusan projek dan kebolehan menyelesaikan masalah menjadikan seseorang pereka itu lebih berjaya.

Kemahiran diperlukan

Selain rasa seni dan kreativiti, seorang pereka dalaman perlu mahir dengan perisian teknikal seperti AutoCAD, Revit, SketchUp dan Adobe Suite.

Pengetahuan tentang struktur bangunan, teori warna, pencahayaan dan fabrik juga penting.

Dalam masa sama, kemahiran seperti komunikasi, pengurusan projek dan kebolehan menyelesaikan masalah menjadikan seseorang pereka itu lebih berjaya.

Peluang dalam dunia reka bentuk dalaman sentiasa terbuka untuk mereka yang berani mencipta dan berkongsi visi tentang keindahan.

Reka masa depan sendiri

Reka bentuk dalaman adalah satu kerjaya yang memberi peluang untuk menggabungkan minat terhadap keindahan dengan nilai fungsi dan kemanusiaan.

Ia bukan sahaja tentang menghias ruang, tetapi tentang memberi erti kepada ruang yang kita diami.

Sama ada anda memulakan langkah di Australia, Malaysia atau mana-mana negara lain, peluang dalam dunia reka bentuk dalaman sentiasa terbuka untuk mereka yang berani mencipta dan berkongsi visi mereka tentang keindahan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram