Setiap bahagian ada fungsi, suhu tertentu, susun atur peti sejuk rahsia makanan tahan lama


  • Hias
  • Rabu, 06 Ogos 2025

Susun atur yang betul dalam peti sejuk memastikan makanan kekal segar dan selamat dimakan.

PETI sejuk mungkin kelihatan seperti ruang penyimpanan biasa di dapur, tetapi cara kita menyusun makanan di dalamnya sebenarnya memberi kesan besar kepada tahap kesegaran dan keselamatan makanan yang disimpan.

Ramai tidak menyedari bahawa setiap bahagian dalam peti sejuk direka dengan fungsi tertentu.

Ia bukan sekadar untuk meletakkan apa sahaja yang muat.

BACA LAGI: Setiap bulan upah servis bersih, kemas rumah mak di kampung, hati rasa tenang, rezeki melimpah walau 'sekecil' perkara

BACA LAGI: Tepis tanggapan vaksin hanya untuk kanak-kanak, PCV20 bantu lindungi daripada 20 jenis bakteria pneumokokus

Menyimpan makanan secara rawak boleh menyebabkan makanan cepat rosak, malah meningkatkan risiko pencemaran silang antara bahan mentah dan makanan yang telah dimasak.

Tambahan pula, suhu di dalam peti sejuk tidak sama kerana ada kawasan yang lebih sejuk, ada yang suhunya mudah berubah setiap kali pintu dibuka.

Maka, memahami bahagian-bahagian peti sejuk dan apa yang sesuai diletakkan di setiap ruang sangat penting untuk mengekalkan kesegaran, rasa dan keselamatan makanan.

Bahagian atas peti sejuk, contohnya, sesuai untuk menyimpan makanan yang telah dimasak serta produk tenusu seperti yogurt dan keju, kerana suhunya paling konsisten.

Sementara itu, bahagian tengah boleh digunakan untuk menyimpan telur dan makanan siap makan yang tidak memerlukan pemanasan.

Bahagian bawah pula perlu dikhaskan untuk bahan mentah seperti daging, ayam dan makanan laut bagi mengelakkan cecair mentah menitis ke makanan lain.

Ini merupakan langkah penting untuk mencegah pencemaran silang, menurut pakar kebersihan seperti ArtClean.

Ruangan sesuai untuk penyimpanan makanan di peti sejuk.

Laci yang terletak di bahagian bawah peti sejuk pula direka khusus untuk menyimpan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Ia membantu mengekalkan kelembapan yang sesuai agar hasil segar tidak cepat layu.

Bagaimanapun, pengguna dinasihatkan supaya tidak mencampurkan semua jenis buah dan sayur dalam satu ruang kerana sesetengah buah mengeluarkan gas yang boleh mempercepatkan proses rosak.

Pintu peti sejuk, yang sering menjadi tempat simpanan minuman dan susu, sebenarnya bukanlah tempat terbaik untuk produk mudah rosak.

Menurut perkongsian dari platform Lemon8, suhu di pintu adalah yang paling tidak stabil kerana ia sering dibuka dan ditutup.

Oleh itu, hanya letakkan barangan seperti sos, jem, dan minuman di sini dan elakkan meletakkan susu atau telur.

Bagi bahagian sejuk beku pula, fungsinya jelas untuk menyimpan makanan yang perlu dibekukan seperti daging, ikan, makanan laut serta makanan sejuk beku lain.

Pastikan makanan dibungkus dengan kemas dan dilabel dengan tarikh simpanan untuk elak pembaziran serta memudahkan anda menyusun menu harian.

Dengan memahami susun atur dan fungsi setiap bahagian peti sejuk, anda bukan sahaja dapat menjimatkan ruang, malah melindungi kesihatan keluarga daripada risiko makanan tercemar.

Amalan itu juga membantu mengurangkan pembaziran makanan serta memastikan rasa dan khasiatnya kekal terpelihara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram