
"SETIAP anak adalah rezeki unik yang ALLAH ciptakan khusus untuk kita. Jangan pernah bandingkan mereka dengan anak orang lain."
Itulah pesanan penuh makna daripada seorang doktor, Dr. Ahmad Luqman Bukhari yang sering berkongsi pandangan berkaitan ilmu keibubapaan di media sosial.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau mengingatkan bahawa sikap membanding-bandingkan anak boleh merosakkan jiwa ibu bapa sendiri, selain membuat mereka lupa untuk menghargai kelebihan yang ada pada permata hati masing-masing.
“Kadang bila tengok anak orang lain, kita terfikir bagusnya anak dia, sopan, duduk diam dan dengar kata. Lepas tu mula terlintas kenapa anak aku ni nakal betul, aktif memanjang, rasa penatlah...,” katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Busana putih, solekan natural serlah seri pengantin 'puteri' kesayangan Tiara Jacquelina
Dr. Ahmad berkata, realiti kehidupan adalah setiap orang menerima rezeki anak yang berbeza-beza sifatnya iaitu ada pendiam, aktif, cepat belajar, malah ada sensitif dan lembut hati.
Justeru, membandingkan anak dengan orang lain adalah sesuatu yang tidak adil kerana perjalanan dan perkembangan setiap anak tidak sama.
“Makin kita banding, makin kita jumpa perkara yang buat kita rasa tak puas hati. Jiwa jadi terlupa untuk bersyukur,” katanya lagi.
Selain itu, Dr. Ahmad juga menegaskan bahawa dalam Islam, sikap bersyukur amat digalakkan kerana ia mendidik hati untuk melihat hikmah di sebalik setiap ujian dan nikmat yang ALLAH beri.
“Anak kita mungkin tak sama macam anak orang lain, tapi percayalah, merekalah anugerah paling hebat yang ALLAH ciptakan, sesuai untuk kehidupan kita,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram