[VIDEO] 'Sembilan tahun jaga ibu strok, tapi aku tak pernah rasa sendirian', suami sanggup dukung ibu mentua penuh kasih sayang


  • Cinta
  • Ahad, 10 Ogos 2025

Meeravelle meluahkan rasa syukur memiliki pasangan yang sanggup menjaga ibunya yang alami strok.

CINTA sejati bukan sekadar hadir ketika senang, tetapi juga teguh berdiri di saat ujian terberat. 

Itulah yang dirasai oleh seorang wanita, Meeravelle apabila suaminya memahami dan berada di saat getir ketika dia perlu menjaga ibunya yang menghidap strok sejak sembilan tahun lepas.

Meeravelle meluahkan rasa syukur memiliki pasangan yang sanggup memikul amanah itu bersama.

BACA LAGI: [VIDEO] Busana putih, solekan natural serlah seri pengantin 'puteri' kesayangan Tiara Jacquelina

 

BACA LAGI: [VIDEO] Suami hadiahkan Paris Hilton pesawat Gulfstream G450 Sliv Air tema merah jambu, ada pawagam 4K, sain ‘Paris xoxo’

Dalam hantaran di laman Threads, Meeravelle memuat naik dua kepingan gambar iaitu satu memaparkan ibunya duduk di kerusi roda dan satu lagi gambar dirinya mendukung ibunya yang sudah tidak lagi mampu berjalan.

Namun, yang paling menyentuh hati adalah kata-kata suaminya yang tiba-tiba meluahkan rasa simpati dan kagum terhadap ketabahan isterinya.

“Suami saya cakap kat saya, harini tiba-tiba saya terfikir pasal awak. Kesian tengok awak jaga mak awak sorang-sorang,” katanya. 

Meeravelle mengakui dirinya berasa sebak lalu memeluk suaminya sambil mengucapkan terima kasih kerana tidak pernah membiarkannya berjuang sendirian.

“Bila saya menangis, bila saya penat, suami selalu ada bagi semangat dan jaga sama-sama. Tak tahu la apa jadi kalau tak ada awak. Hanya ALLAH saja dapat balas segala pengorbanan awak terima saya dan mama saya. Semoga ALLAH naikkan darjat suami saya, Aminnn,” tulisnya.

Dalam satu hantaran lain, Meeravelle turut berkongsi rakaman video memaparkan suaminya sendiri mendukung ibu mertuanya yang tidak mampu berjalan.

“Terima kasih semua yang doakan. Saya juga doakan korang yang tengah berjuang jaga ibu ayah, jangan patah semangat. Banyakkan bersabar sebab ALLAH sedang berikan kita jalan singkat untuk ke syurga. 

"Sembilan tahun saya uruskan mak dan saya bahagia jaga mak saya, alhamdulillah,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, momen itu reaksi pilu daripada warga maya.

“Sedihnya sis, tengok awak dukung mak awak macam tu, berlinang air mata saya. Semoga kuat selalu jaga mak awak. Syurga buatmu, insya-ALLAH," tulis Wanett.co

 “Ibarat ibu yang kendong anak waktu kecil, dan sekarang awak kendong mak di hari bahagia awak. Terlalu sedih, terlalu pilu. Moga segala doa awak dimakbulkan ALLAH," kata Chemmrazak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram