
HANYA dengan menukar masa penggunaan peralatan elektrik seperti mesin basuh atau penyaman udara, seorang wanita mendakwa berjaya mengurangkan bil bulanan rumahnya.
Wanita berkenaan, Ida menerusi hantaran di Instagram Ida menjelaskan bahawa tarif elektrik sebenarnya berbeza mengikut waktu.
Selepas pukul 10 malam, kadar caj lebih murah kerana ia termasuk dalam kategori luar waktu puncak di bawah skim Time-of-Use (ToU) Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Rugi tak basuh baju tengah malam. Lepas pukul 10 malam murah sebab luar waktu puncak. Memang jimat kalau guna masa ni,” katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Busana putih, solekan natural serlah seri pengantin 'puteri' kesayangan Tiara Jacquelina
Apa itu ToU?
Skim ToU membahagikan kadar elektrik kepada dua zon masa:
Isnin hingga Jumaat:
Waktu puncak – Pukul 2 petang hingga pukul 10 malam (kadar lebih tinggi kerana permintaan elektrik lebih tinggi pada waktu ini)
Luar waktu puncak – Pukul 10 malam hingga pukul 2 petang (kadar lebih rendah kerana permintaan elektrik rendah)
Sabtu, ahad dan cuti umum: Luar waktu puncak sepanjang hari (24 jam).
Dengan memahami perbezaan itu, pengguna boleh merancang untuk menggunakan peralatan elektrik berat seperti mesin basuh, pengering, penyaman udara atau seterika pada luar waktu puncak bagi mendapatkan kadar lebih rendah.
Ida berkata, selepas bertukar ke skim ToU, bil elektrik rumahnya menunjukkan penurunan.
“Beza empat sen untuk setiap kW. Kalau dikira jumlah keseluruhan, memang banyak,” ujarnya menjawab pertanyaan seorang pengguna Instagram.
Beliau turut memaklumkan, permohonan kini boleh dibuat secara dalam talian tanpa sebarang bayaran.
Namun, kediaman perlu dilengkapi smart meter terlebih dahulu.
"Jika masih menggunakan meter lama, ia perlu ditukar sebelum permohonan diluluskan," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna, My Maroc turut berkongsi bahawa dia sedang menunggu pihak TNB menukar meter selepas membuat permohonan.
Betul ida, saya pun dah apply tunggu TNB datang tukar meter ke smart meter," katanya.
Ida berharap perkongsiannya dapat membantu lebih ramai orang berjimat.
“Janji lebihkan penggunaan elektrik masa luar waktu puncak. Moga yang belum tahu boleh mula berjimat selepas ini,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram