
BUKAN semua hari dalam dunia pendidikan berakhir dengan senyuman.
Bagi sesetengah guru, ada detik-detik yang menguji kesabaran sehingga timbul rasa hilang minat untuk masuk ke kelas.
Itulah yang diluahkan seorang guru, Shazwa Rina, di Threads apabila berdepan seorang murid yang disifatkan sering mengganggu suasana pembelajaran.
BACA LAGI: Ramai kanak-kanak obesiti hidap diabetes 'orang dewasa', perhati tanda-tanda ini
BACA LAGI: [VIDEO] Matcha, manfaat atau risiko untuk kesihatan haid wanita?
"Wahai guru-guru, bagaimana anda mengatasi rasa benci atau marah kepada murid? Dia memang jelas kurang ajar, orang lain mahu belajar tetapi sebab dia, saya rasa hilang semangat, sampai rasa mahu cuti sakit atau tak masuk kelas.
"Dia satu-satunya sebab saya benci pekerjaan (guru) ini sekarang," tulisnya.
Luahan itu pantas menarik perhatian ramai warga maya, khususnya golongan pendidik yang tampil memberikan kata-kata nasihat dan pengalaman masing-masing untuk membantunya mengawal emosi di bilik darjah.
Pengguna Threads @Arekay_b memberi saranan berbentuk gurauan:
"Jadi Wawa nombor satu dan Wawa nombor dua. Apabila murid berbuat baik kepada cikgu tolong jadi Wawa nombor satu.
"Tetapi jika murid buat hal, tolong jadi Wawa nombor dua. Kamu jangan minta cikgu jadi cikgu Wawa nombor dua. Kamu akan menyesal nanti,” tulisnya.
Sementara itu, @Nyssakams berkongsi cara untuk mengawal perasaan marah dengan lebih sihat:
"Amalkan marah dan lepaskan sahaja. Kosongkan fikiran. Jangan simpan rasa itu. Tegur sebaik mungkin sahaja. Itu yang saya amalkan."
Bagi @Selahalim, guru yang berdepan murid ‘terlalu aktif’ perlu lebih dekat dengan mereka:
"Selalunya saya akan minta duduk sebelah saya sepanjang masa, kadang saya tegas, kadang saya puji walaupun kebaikan itu hanya sedikit.
"Duduk sebelah cikgu ini buat mereka lebih tenang atau berubah jadi kawan baik kita. Jangan membebel, tegur bila salah, puji bila betul.
"Apa-apa pun ingat, tidak semua murid sama. Ujian ini ada ganjaran pahala. Doa kita kepada murid berkesan, jadi kekal positif."
@Sangbetara pula mengingatkan agar guru mengelakkan penggunaan perkataan yang terlalu keras terhadap pelajar:
"Benci bukan perkataan yang sesuai digunakan sebagai seorang guru. Berbincang secara perlahan, dekati murid tersebut. Memang berat ujian ini, tetapi Tuhan tidak akan menguji jika kita tidak mampu. Semoga cikgu menemui jalan penyelesaian."
Selepas membaca setiap komen, Shazwa memaklumkan dia telah mencuba beberapa kaedah yang disarankan dalam kelasnya.
"Terima kasih semua atas nasihat, saya cuba sedaya upaya untuk menjadi yang terbaik. Ya, saya dapat lihat dia benar-benar mahu dan perlukan perhatian.
"Terbuka mata saya untuk memahami daripada banyak sudut pandangan. Semoga saya mampu menjadi pendidik yang berlapang dada dan sabar," tulisnya.
Luahan ikhlas dan perkongsian pengalaman itu membuktikan bahawa meskipun cabaran mendidik semakin kompleks, sokongan moral dan pertukaran pengalaman antara guru mampu memberikan kekuatan untuk terus bertahan dalam profesion mulia ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram