
DILIHAT sering hadir ke majlis ilmu, pelakon dan personaliti terkenal Elfira Loy kini tampil dengan gaya hidup yang lebih seimbang antara penampilan dan pengisian rohani.
Bukan sekadar menjadi tetamu, beliau juga menganjurkan kelas agama setiap dua minggu sekali di Cyberjaya yang terbuka kepada semua.
Justeru, pemilik nama Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 31, itu menegaskan penampilannya kini sentiasa berasaskan keselesaan, batas diri dan niat yang betul.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Berlarilah di taman syurga, sayang', Baby Ecan pergi tanpa sempat merasai belaian ibu bapa
Bagi menambah glamor pada gayanya di KLFW 2025, Elfira menambah sentuhan aksesori di bahagian kepalanya. — Instagram/@elfiraloy
“Dari segi fesyen, saya rasa saya masih sama. Cuma saya ada letakkan batas untuk diri sendiri. Saya akan pakai apa yang selesa dan yakin.
"Kalau rasa ragu, saya akan tukar terus sebab Islam itu mudah. Kita tak perlu ragu-ragu,” katanya kepada Majoriti selepas menghadiri Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW 2025) pada Khamis..
Ditanya tip untuk kekalkan gaya glamor tetapi masih kelihatan natural, ibu kepada dua orang anak itu berkata, beliau hanya menambah sedikit sentuhan aksesori.
“Saya sesuaikan bahagian yang mahu ditutup atau ditonjolkan dan tambah juga sedikit aksesori. Yang penting, saya kekal jadi diri sendiri,” ujarnya.
Tambahnya, pada hari-hari biasa beliau lebih gemar berpenampilan ringkas dengan memilih pakaian yang selesa, sedap mata memandang dan tidak menimbulkan rasa kurang selesa.
“Hari-hari biasa, kalau lihat di Instagram, saya seorang yang sangat ringkas. Saya pilih pakaian yang selesa, sedap mata memandang dan tak menimbulkan rasa kurang selesa.
"Yang penting, kita sendiri tahu usaha yang dilakukan setiap hari untuk menjadi lebih baik. Itu sudah memadai, kerana akhirnya kita akan menjawab kepada ALLAH, bukan kepada orang lain,” jelasnya.
Mengulas sama ada beliau pernah berdepan detik sukar memilih pakaian yang sesuai, beliau tidak pernah berdepan detik tersebut, namun mengakui kadang-kala berasa risau sama ada penampilannya diterima atau tidak.
Tambahnya, pandangan orang lain boleh dijadikan pertimbangan namun tidak wajar dijadikan penentu utama dalam menentukan pilihan pakaian.
“Sejujurnya saya tak pernah rasa perasaan itu, Alhamdulillah. Cuma kadang-kadang apabbila keluar, saya risau juga sama ada penampilan itu okey atau tak.
"Saya rasa dah okey, tapi saya tak tahu pandangan orang lain. Jadi apabila rasa tak yakin itu lebih, saya akan terus tukar. Saya tak akan biarkan rasa ragu itu ada," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas isu rekaan pakaian sukan wanita patuh syariah yang diperkenalkan oleh isteri kepada pelakon, Syukri Yahaya, Tya Adnan yang dipertikaikan segelintir individu di media sosial.
“Saya tak faham kenapa ada pihak yang mahu mempertikaikan pakaian orang lain. Sebagaimana kita menjaga mata dan mulut daripada menghakimi, kita juga perlu menghormati gaya pilihan individu lain," tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram