[VIDEO] 'Berlarilah di taman syurga, sayang', Baby Ecan pergi tanpa sempat merasai belaian ibu bapa


  • Bonda
  • Sabtu, 09 Ogos 2025

Muhammad Ehsan merupakan bayi lelaki yang membesar tanpa kasih sayang daripada ibu bapa kandung.

KISAH seorang bayi lelaki berusia 10 bulan yang membesar di hospital tanpa belaian ibu bapa kandung menyentuh hati masyarakat apabila disahkan meninggal dunia pada Sabtu lalu.

Bayi tersebut, yang diberi nama Muhammad Ehsan oleh jururawat yang menjaganya, dilahirkan dengan Sindrom Down di sebuah pusat rawatan kira-kira 10 bulan lalu sebelum ditinggalkan oleh ibu bapa sejurus kelahiran.

Pengasas Pertubuhan Amal Team, Mohd Zulhairi berkata, bayi itu dijaga sepenuh perhatian oleh petugas kesihatan sehingga menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 2 hingga 3 petang.

"Anak ini ditinggalkan sejak dilahirkan. Selama 10 bulan, pihak hospital menjaga dengan baik. 

"Ramai jururawat membantunya siang dan malam. Kami turut membantu menguruskan pengebumiannya dan mendoakan yang terbaik walaupun dia tidak mempunyai waris,” katanya menerusi hantaran di TikTok.

BACA LAGI: Rugi kalau guna elektrik waktu puncak, wanita ini dedah cara mudah turunkan bil bulanan

BACA LAGI: [VIDEO] Pereka tetap terus menjahit walaupun 'blackout', gaun Sarimah Ibrahim sempurna di pentas KLFW

@cik_aar888 Baby ecan yg penuh dgn kasih syg ..trma kasih ecan hadir dlm hidup acik2 semua.. berlari lah kamu ditaman syurga yg indah ..jgn lupa tarik acik2 semua ke syurga ya syg ..muhammad ehsan nama yg misi @Lurve Kamu dan Kenangan waniannuarrr - U R

Seorang jururawat, Cik Aar888 turut memuat naik kenangan bersama bayi itu sewaktu menjaganya di hospital. 

“Terima kasih Ecan hadir dalam hidup kami (jururawat). Berlarilah di taman syurga, sayang. Jangan lupa membawa kami bersama di akhirat nanti,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, berita pemergian bayi itu turut mengundang rasa sayu kepada warga maya.

Seorang pengguna, Shareena Khan berkata, beliau juga menjaga anak dengan Sindrom Down dan menganggap anak itu sebagai anugerah istimewa.

“Sedih apabila membaca kisah Baby Ecan. Anak saya membawa 1001 rezeki dan keberkatan.

"Ruginya ibu bapa kandungnya tidak merasai keajaiban menjaga ahli syurga,” katanya.

Pengguna lain, Ashikin Mohamed turut melahirkan rasa sedih dengan pemergian itu

“Tidak sangka bayi ini telah pergi… sedihnya dengar berita ini,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram