
PERSONALITI televisyen dan usahawan Yaya Zahir mendedahkan minatnya terhadap dunia fesyen sudah bermula sejak kecil yang dipengaruhi cita rasa fesyen ibunya.
Menyifatkan fesyen sebagai ruang untuk bereksperimen dan mengekspresikan mood diri, Yaya atau nama sebenarnya, Zuhairah Zahir, 30, percaya penampilan yang baik tidak memerlukan perancangan berlebihan, sebaliknya bergantung kepada rasa hati dan keyakinan.
“Sejujurnya, saya jarang berfikir tentang gaya. Apabila bangun pagi, saya ikut sahaja perasaan pada hari itu.
"Kalau terlalu fikir sangat, ia akan hilangkan keseronokan. Saya hanya mix and match dan nikmati prosesnya,” katanya ketika ditemui Majoriti pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2025 (KLFW 2025) di Kuala Lumpur, Khamis.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Berlarilah di taman syurga, sayang', Baby Ecan pergi tanpa sempat merasai belaian ibu bapa
Menggemari padanan warna-warna terang dan berani, ibu kepada seorang anak itu berkata, pilihan itu sering mencerminkan keadaan emosinya pada hari tertentu, malah membantu menaikkan mood ketika berasa letih atau kurang bersemangat.
Katanya lagi, beliau juga tidak terlalu mengambil kira pandangan negatif orang terhadap gaya peribadinya kerana yang penting adalah keyakinan dan rasa seronok dengan apa dipakai.
Selain mengikut naluri sendiri, Yaya turut mengambil inspirasi daripada pelbagai sumber termasuk ikon fesyen antarabangsa seperti Jennie dari Blackpink, Kendall Jenner dan Hailey Bieber serta gaya individu yang ditemuinya di tempat awam.
“Bagi saya, fesyen tidak sepatutnya terlalu terikat kepada peraturan. Ia seharusnya menyeronokkan dan memberi peluang untuk individu mengekspresikan diri,” ujarnya yang turut gemar tampil dengan gaya jalanan.
Beliau juga mengakui cepat bosan dengan sesuatu gaya. Justeru, beliau gemar mencuba pelbagai gaya baharu serta memastikan almari pakaiannya sentiasa dipenuhi kepelbagaian warna.
“Nikmati sahaja proses untuk bergaya. Kadang-kadang, apabila memakai benda yang sama sahaja, saya memang jenis yang cepat bosan. Jadi, saya suka sesuatu yang baharu,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram