[VIDEO] 'Anak yang buat mummy nak ada baby sendiri', Watie titip ucapan hari jadi buat Ayash


  • Bonda
  • Jumaat, 08 Ogos 2025

Menerusi hantaran di Instagram, Watie memuat naik foto dan video mesra bersama Ayash yang dijaga sejak bayi. 

UCAPAN ulang tahun kelahiran keempat yang dikongsi Watie Hanafiah buat anak bongsunya, Ayash Affan mencuri perhatian ramai apabila sarat dengan luahan kasih sayang dan rasa syukur.

Menerusi hantaran di Instagram, isteri kepada pelawak dan usahawan Shuib (Sepahtu) itu memuat naik foto dan video mesra bersama Ayash yang dijaga sejak bayi. 

Gelagat manja kanak-kanak itu jelas menggambarkan hubungan rapat antara mereka.

"Anak yang buatkan hati mummy terdetik untuk ada bayi dari rahim sendiri sejak dia semakin membesar. 

"Anak yang selalu buat mummy rindu dengan telatah, ciuman dan senyuman dia. Anak yang boleh buat mummy tak tidur sebelah daddy (Shuib) pun tak apa… janji dia sebelah mummy," kata Watie.

BACA LAGI: [VIDEO] Suami hadiahkan Paris Hilton pesawat Gulfstream G450 Sliv Air tema merah jambu, ada pawagam 4K, sain ‘Paris xoxo’

BACA LAGI: [VIDEO] Jambatan runtuh, penghulu berenang, redah arus deras demi nikahkan pasangan pengantin di kampung terpencil

Watie turut mengakui hatinya sering terasa sayu setiap kali menghantar Ayash pulang ke rumah nenek, selain berterima kasih kerana si kecil itu memberinya peluang merasai perasaan menjadi seorang ibu.

"Terima kasih dah buat mummy rasa perasaan jadi ibu. Semoga Ayash sentiasa dalam lindungan ALLAH… nanti besar baca ni tau. Mummy sayang Ayash sangat-sangat," katanya lagi.

Ucapan tersebut menerima pelbagai reaksi positif termasuk daripada Shuib sendiri yang mengakui tersentuh dengan kata-kata isterinya.

"Mummy, awak buat saya rasa terharu sangat. Saya sayang awak. Terima kasih hadir dalam hidup saya dan anak-anak," katanya.

Rata-rata warga maya turut memuji keikhlasan Watie dalam menyayangi anak-anak Shuib, malah ada yang mengaku sebak membaca luahannya.

"Baiknya mak tiri macam ni," kata Nor Asmarina.

"Suka tengok dia jaga anak-anak arwah Siti Sarah, layanan yang sangat baik. Moga sentiasa bahagia," kata Fatin Nurfiqah.

Untuk rekod, Shuib dan pemilik nama sebenar Fati Nikmatul Adawiyah Hanafiah itu mendirikan rumah tangga pada Jun 2023. 

Shuib sebelum ini bergelar bapa tunggal selepas pemergian isterinya, penyanyi Siti Sarah Raisuddin pada Ogos 2021 akibat Covid-19.

Hasil perkahwinan bersama allahyarhamah, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 14, Dzahira Talita Zahra, 12, Ariq Matin, 10 dan Ayash Affan, kini berusia 4 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram