
SIAPA sangka, di sebalik jadual kerja padat dan kehidupan glamor di kota, pelakon dan pengacara popular Nabil Ahmad memilih untuk membina ‘syurga’ peribadi yang dikelilingi alam semula jadi di Raub, Pahang.
Bukan sekadar tempat berehat, rumah banglo itu mengutamakan gaya moden minimalis dengan elemen semula jadi yang dapat mencipta suasana yang hangat, lapang dan mendamaikan.
Isterinya, Zira Ayub baru-baru ini mencuri perhatian warga maya apabila berkongsi rakaman video dekorasi kediaman tersebut menerusi laman Instagram.
BACA LAGI: [VIDEO] Busana putih, solekan natural serlah seri pengantin 'puteri' kesayangan Tiara Jacquelina
Setiap sudut yang ditunjukkan seakan menceritakan kisah cita rasa pemiliknya yang mengutamakan keselesaan, ketenangan dan gaya.
Antara sudut yang paling mencuri tumpuan ialah rak buku terbina dalam berwarna kayu gelap, lengkap dengan tangga besi hitam yang memberi sentuhan klasik.
Susunan buku dan hiasan yang ringkas tetapi tersusun rapi menambahkan rasa elegan pada ruang berkenaan.
Tidak kurang menariknya, pintu gelangsar kaca bersaiz besar di ruang tamu membenarkan cahaya semula jadi memantul ke kediaman, sambil menawarkan pemandangan kolam kecil dan kehijauan hutan di luar.
Tirai putih yang digantung kemas menambah aura lapang dan segar seolah-olah menghubungkan ruang dalam rumah dengan pemandangan luar.
Di satu sudut lain, ruang santai berbentuk-L dengan kusyen warna neutral dipadankan meja bulat kecil serta lampu gantung moden sehingga mencipta suasana sempurna untuk menikmati sarapan sambil memandang kehijauan bukit.
Menariknya, di sebalik reka bentuk yang bergaya, kediaman itu turut menyediakan ruangan solat khusus untuk memudahkan solat bersama-sama dengan keluarga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram