Tiada lagi istilah fesyen 'terlalu tua, terlalu muda', ini cara media sosial ubah cara bergaya


  • Gaya
  • Sabtu, 09 Ogos 2025

Fesyen zaman sekarang tidak lagi terhad kepada usia dan pelbagai generasi kini bergaya serentak dengan pengaruh media sosial yang meluas. — Gambar hiasan/Agensi

ZAMAN dahulu, umur menjadi penanda yang jelas untuk menentukan cara seseorang itu berpakaian. Namun, dengan kemunculan media sosial, sempadan umur dalam fesyen semakin tidak jelas apabila peminat fesyen kini memilih pelbagai gaya tanpa mengira usia.

Fesyen yang dahulu dianggap sebagai cerminan umur, gaya hidup, pendapatan atau personaliti kini sudah hilang maknanya.

Platform seperti TikTok telah mengaburkan batasan umur dalam fesyen. Milestone atau pencapaian hidup seperti pergi ke kolej, berkahwin, memiliki rumah atau mempunyai anak yang dulu menentukan cara berpakaian kini tidak lagi diamalkan.

BACA LAGI: Bukan saja-saja isi pendidikan, pekerjaan dalam 'buku pink', rupanya ada kaitan sepanjang hamil

BACA LAGI: Trend 'aegyo sal' dedah rahsia 'mata senyum' di sebalik solekan wajah comel ala Korea

Golongan yang biasanya 'terlalu tua' atau 'terlalu muda' untuk sesetengah jenama kini bebas membeli-belah tanpa batasan. — Gambar hiasan/Agensi

Di samping itu, landskap peruncitan yang menyatukan semua golongan umur ke dalam beberapa jenama dan kedai yang sama semakin menghapuskan perbezaan umur dalam pilihan pakaian.

Statistik di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan peningkatan jualan TikTok Shop sebanyak 120 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kajian juga mendapati 83 peratus pembeli menemui produk baharu melalui platform tersebut, manakala 70 peratus menemui jenama baharu.

Ini menunjukkan bagaimana media sosial kini menjadi platform utama membeli-belah tanpa mengira usia.

Tanpa sempadan umur

Trend fesyen yang dahulunya dikaitkan dengan kumpulan umur tertentu kini boleh diikuti oleh sesiapa sahaja.

Golongan yang biasanya 'terlalu tua' atau 'terlalu muda' untuk sesetengah jenama kini bebas membeli-belah tanpa batasan. Ini menyebabkan identiti fesyen peribadi berada dalam kekeliruan dan krisis.

Perubahan ini bukan berlaku secara tiba-tiba. Lebih sedekad lalu, majalah fesyen masih mengeluarkan panduan berpakaian mengikut umur dan situasi, seperti J-14 atau Seventeen untuk remaja, manakala Vogue dan Harper’s Bazaar memberikan panduan untuk wanita dewasa.

Setiap majalah mempunyai sasaran pembaca yang jelas dengan peraturan dan jangkaan tertentu. Namun kini, pengaruh majalah-majalah tersebut semakin hilang dan digantikan oleh algoritma media sosial menyajikan kandungan kepada semua pengguna tanpa mengira umur.

Kedai-kedai fizikal juga pernah mempunyai susun atur yang jelas mengikut peringkat umur.

Perubahan gaya hidup, impak terhadap fesyen

Selain media dan peruncitan, perubahan besar juga berlaku dalam cara hidup manusia. Milestone hidup tradisional yang pernah menentukan cara berpakaian seperti berkahwin, memiliki rumah dan kerjaya tetap semakin tidak menentu.

Ramai golongan 30-an dan 40-an kini menjalani gaya hidup seperti golongan 20-an, tanpa tanda umur yang biasa mengubah pilihan fesyen.

Apabila ramai memilih untuk tidak mempunyai anak atau membeli rumah kerana kekangan kewangan, fesyen kehilangan tujuan fungsinya yang dahulu.

Contohnya, seorang penyewa apartment berumur 35 tahun tidak perlu berpakaian berbeza dengan seorang remaja 22 tahun dalam situasi sama.

Pakaian lengkap yang dulu melambangkan kejayaan kerjaya kini tidak lagi relevan dalam ekonomi gig yang fleksibel.

Gaya 'clean girl' menampilkan penampilan yang kemas tanpa usaha berlebihan. — Instagram/@ftnshc

Fesyen era kini

Jadi, apa yang kita pakai sekarang? Kita berfesyen untuk estetika, untuk gambar di Instagram, trend di TikTok dan untuk menggambarkan siapa yang kita ingin jadi, bukan siapa kita sebenarnya.

Gaya clean girl misalnya bukan bermaksud betul-betul bersih, tetapi gaya yang kelihatan kemas tanpa usaha, sebuah ‘persembahan’ visual.

Gaya old money pula menjadi pilihan mereka yang tiada harta warisan.

Algoritma media sosial tidak peduli dengan umur kita. Ia menyajikan video fesyen viral dan trend kepada semua pengguna tanpa mengira usia.

Ini menyebabkan seseorang yang berumur 19 dan 39 tahun mungkin mengikuti gaya yang sama. Fesyen kini bukan lagi tentang perkembangan diri mengikut umur, tetapi tentang mengejar trend terkini.

Walaupun kebebasan ini membuka ruang kreativiti tanpa sempadan umur, ia juga membawa tekanan baharu.

Tanpa panduan jelas, fesyen menjadi satu persembahan untuk membuktikan kita masih relevan. Kegagalan mengikuti trend boleh menyebabkan rasa terpinggir, terutama bagi yang aktif dalam talian.

Sistem lama, walaupun ketat, memberikan rangka dan rasa kekitaan mengikut tahap hidup dengan bahasa fesyen yang tersendiri.

Ia juga memudahkan membuat pilihan ketika membeli-belah dan membantu membina koleksi pakaian yang sesuai dengan kehidupan sebenar.

Kini, kita tidak perlu kembali kepada peraturan ketat mengikut umur. Namun, kita perlu panduan baharu, iaitu bukan berpakaian mengikut umur, tetapi berpakaian mengikut cara hidup yang kita jalani sekarang.

Fesyen harus mencerminkan siapa kita dan apa keutamaan kita pada masa itu, bukan sekadar angka umur. Pakaian harus berkembang bersama kita, mengikut perubahan identiti dan gaya hidup, bukan semata-mata berdasarkan umur. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram