Sanggup jual harta, berbasikal dari India ke Eropah demi wanita Sweden, kisah cinta Mahanandia-Charlotte utuh hingga kini


  • Cinta
  • Sabtu, 09 Ogos 2025

Mahanandia bertemu Charlotte di Delhi, India buat kali pertama pada 1975 dan percintaan mereka utuh hingga hari ini.

CINTA sejati sering kali hadir tanpa sempadan, mengatasi segala jarak, budaya dan cabaran. 

Kisah seorang pelukis jalanan dari India, PK Mahanandia membuktikan betapa kuatnya kuasa cinta apabila beliau sanggup mengayuh basikal ribuan kilometer demi bertemu semula dengan wanita yang mencuri hatinya, Charlotte Von Schedvin.

Segalanya bermula pada 1975 di Connaught Place, Delhi, India apabila pelancong dari Sweden, Charlotte tertarik dengan papan tanda di tempat Mahanandia yang menyatakan beliau mampu menyiapkan potret dalam masa 10 minit. 

BACA LAGI: [VIDEO] Jambatan runtuh, penghulu berenang, redah arus deras demi nikahkan pasangan pengantin di kampung terpencil

BACA LAGI: 'Sabar agar marah tidak menyakiti, lidah tidak menghina', 2 nilai ini perlu ada sebelum melangkah ke alam rumah tangga

Seorang pelukis jalanan jatuh cinta dengan wanita berasal Sweden. 

Walaupun potret pertamanya tidak memuaskan, Charlotte tetap kembali keesokan harinya. 

Dari situ, terjalin pertemuan yang lebih daripada sekadar sebuah lukisan.

Mahanandia mula teringat akan ramalan ibunya bahawa jodohnya ialah wanita berzodiak Taurus, berasal dari jauh, pandai bermain muzik dan memiliki hutan. 

Ramalan itu terasa mustahil sehinggalah Charlotte memberitahu bahawa beliau memang berzodiak Taurus, pandai bermain piano, berasal Sweden, Eropah Utara dan keluarganya memiliki kawasan hutan.

"Itu saatnya saya tahu… dialah orangnya.

“Kami seperti magnet. Cinta pandang pertama," kata Mahanandia.

Hubungan mereka semakin rapat sehingga Charlotte sanggup mengikut Mahanandia pulang ke Orissa. 

Di sana, mereka berdua mengikat janji mengikut adat suku kaum dengan restu keluarga.

Namun, tidak lama kemudian, Charlotte perlu pulang ke Sweden dan meminta Mahanandia menyusul suatu hari nanti.

Selama lebih setahun mereka hanya berhubung melalui surat.

Tanpa wang untuk tiket kapal terbang, Mahanandia mengambil keputusan berani menjual segala harta, membeli basikal dan memulakan perjalanan panjang merentasi Pakistan, Afghanistan, Iran, Turkiye hingga ke Eropah pada Januari 1977.

Kisah percintaan mereka kekal sehingga hari ini. 

Setiap hari, Mahanandia mengayuh sekitar 70 kilometer. Kadangkala kaki terasa kepenatan, namun rindu dan tekad membakar semangatnya.

“Saya melukis potret di jalanan untuk mendapatkan wang, makanan atau tempat berteduh.

“Saya tidak pernah minat berbasikal, tetapi saya lakukannya kerana cinta,” kata Mahanandia.

Pada Mei 1977, Mahanandia akhirnya tiba di Eropah melalui Istanbul dan Vienna, kemudian menaiki kereta api ke Gothenburg untuk bertemu semula Charlotte. 

Walaupun menghadapi kejutan budaya dan perlu meraih restu keluarga mentua, cinta mereka tetap utuh.

Kini, hampir lima dekad berlalu, pasangan itu masih kekal bahagia. 

Dalam hantaran terbaru di Instagram, Mahanandia berkongsi gambar mereka berdua yang masing-masing sudah berusia, namun senyuman penuh kasih masih terpancar seperti mula-mula bertemu.

Bagi Mahanandia, perjalanan itu bukan sekadar kisah pengembaraan hebat, tetapi janji seorang lelaki kepada wanita yang dicintainya. 

“Saya cuma mahu bertemu dengannya. Selebihnya adalah kisah cinta kami," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram