
JIKA pada kebiasaannya bahagian gelap bawah mata dianggap tidak menarik, kini ramai wanita terutamanya peminat budaya K-pop sanggup berhabis ribuan ringgit semata-mata untuk dapatkan efek yang dipanggil 'aegyo sal'.
Berbeza dengan eye bag akibat kurang tidur, aegyo sal ialah tisu semula jadi yang muncul di bawah mata apabila kita tersenyum.
Pada perspektif muda-mudi hari ini, 'aegyo sal' menjadikan wajah kelihatan lebih ceria, manja dan awet muda.
BACA LAGI: Terik matahari lunturkan solekan? Kekalkan seri wajah dengan rangkaian produk ini
Kenapa 'aegyo sal' trending?
1. Pengaruh K-pop dan drama Korea
Bintang Korea seperti IU, Jennie BLACKPINK dan Taeyeon SNSD sering tampil dengan 'aegyo sal' yang menyerlah. Penampilan mereka menjadi inspirasi kecantikan ramai, bukan sahaja di Korea tetapi juga di seluruh dunia.
2. Standard kecantikan Korea
Dalam dunia K-Beauty, wajah comel dan muda lebih didambakan berbanding raut yang tajam atau matang. Aegyo sal membantu menyerlahkan baby face yang menjadi kegemaran ramai.
3. Serasi dengan solekan natural
Ia sangat sesuai dipadankan dengan solekan minimalis, menjadikan wajah kelihatan segar dan berseri tanpa perlu terlalu banyak produk.
Disebabkan permintaan yang tinggi, banyak klinik estetik kini menawarkan rawatan untuk membentuk aegyo sal menggunakan filler atau prosedur kecil. Namun, tak semua orang mampu – atau bersedia – untuk melalui rawatan kosmetik.
Tip DIY 'aegyo sal' tanpa jarum
Kalau nak cuba sendiri di rumah, ini cara mudah dan cepat:
1. Lukis bayang halus di bawah mata
Gunakan pensel kening atau pembayang mata warna coklat muda atau taupe. Lukis garis nipis tepat di bawah garis mata, dan blend perlahan-lahan ke bawah untuk efek bayang semula jadi.
2. Tambah highlight di atas garis tersebut
Sapukan shimmer halus di bawah bulu mata bawah untuk memberi ilusi mata yang lebih segar dan hidup.
3. Gandingkan dengan solekan lembut
Lengkapkan gaya dengan pemerah pipi rona pic atau merah jambu, dan bibir berlip 'tint' untuk kesan yang lebih menarik.
Walaupun 'aegyo sal' kelihatan comel dan menyeronokkan untuk digayakan, tidak semua bersetuju dengan trend ini.
Ada yang berpendapat bahawa obsesi terhadap kecantikan ala Asia Timur boleh menimbulkan tekanan imej diri, terutamanya dalam kalangan remaja perempuan.
Pakar psikologi turut mengingatkan bahawa apabila standard kecantikan tertentu dinormalisasikan, ia boleh menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap rupa paras sendiri dan menggalakkan budaya perbandingan yang tidak sihat di media sosial.
Jadi, walaupun tiada salahnya mencuba gaya baru atau ikut trend, paling penting adalah untuk terus mendidik generasi muda agar menyayangi wajah sendiri seadanya.
Ingat, jangan terlalu terikat dengan definisi kecantikan yang ditentukan oleh budaya pop. Jadilah diri sendiri kerana rupa paras asli itu lebih autentik! — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram