
RUMAH tangga bukan hanya tentang cinta, janji manis atau sekadar akad yang sah.
Ia menuntut lebih daripada itu iaitu dua hati yang sanggup bertahan, menerima dan saling melengkapi.
Demikian coretan jujur yang ditulis oleh Humairah Zamri menerusi hantaran di laman Threads yang kini mendapat perhatian ramai.
BACA LAGI: Misha sifatkan suami 'filter' terbaik, pelindung emosi di kala berdepan saat getir
Kita perlulah bersyukur dengan setiap nikmati yang dikurniakan Tuhan. — Gambar Hiasan
Beliau berkongsi tentang dua sifat yang perlu ada dalam diri setiap individu sebelum melangkah ke alam rumah tangga iaitu sabar dan syukur.
Menurut Humairah, lelaki perlu kaya dengan sifat sabar bukan hanya ketika marah, tetapi juga ketika diuji dengan kelemahan dan kekurangan pasangan.
“Lelaki perlu sabar agar marahnya tidak menyakiti, lidahnya pula tidak menghina,” katanya.
Bagi wanita pula, sifat syukur menjadi asas untuk merawat perasaan dan menjaga keharmonian rumah tangga.
Katanya, syukur membuatkan seseorang tidak mudah membandingkan, tidak cepat merungut dan sentiasa reda dengan apa yang dimiliki.
“Perempuan kena kaya dengan sifat syukur. Apa sahaja yang dibawa oleh lelakinya tidak dipandang hina, tidak juga dibandingkan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, sabar bukan perkara yang mudah untuk diterapkan dalam diri meskipun ia sering disebut-sebut.
Sifat itu ringan diucap, namun sebenarnya berat untuk diterjemah dalam tindakan.
“Mungkin sebab itu sabar tidak disebut dengan pahala yang khusus. Setiap orang punya tahap kesabaran yang berbeza.
"Kadang-kadang kita sendiri serba salah untuk minta orang lain bersabar,” katanya sambil menyentuh hakikat bahawa kesabaran manusia ada batasnya.
Manakala Humairah berkata, rasa syukur menjadi pintu kepada pertambahan nikmat dalam hidup seseorang.
Syukur bukan bermaksud berpuas hati lalu berhenti berusaha, tetapi ia mendidik hati untuk tenang dan tidak terus-menerus merungut saat rezeki belum berpihak.
“Lebih baik cakap ke diri, tidak mengapa, nanti kita usaha lagi. Lumrah hidup di dunia, siapa yang berusaha pasti berjaya,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram