
DEMI memastikan sebuah majlis pernikahan berjalan lancar, seorang penghulu di Pasaman, Sumatera Barat, Indonesia sanggup mempertaruhkan nyawa dengan meredah arus sungai deras selepas jambatan penghubung ke lokasi runtuh akibat hujan lebat.
Kejadian pada Sabtu lepas itu melibatkan penghulu dari Jorong Batang, Nagari Batang Kundur, Ahad Nasution yang ditugaskan oleh Ketua Pejabat Agama Kecamatan Dua Koto, Fajri Watan untuk menikahkan pasangan pengantin, Agep Purwandi dan Intan Purnama Sari di kawasan pedalaman.
Perjalanan sejauh 27 kilometer dari pusat daerah kecil itu ditempuhi dengan menaiki motosikal sewa yang perlu melalui jalan licin dan berbukit.
BACA LAGI: Misha sifatkan suami 'filter' terbaik, pelindung emosi di kala berdepan saat getir
Ahad Nasution, penghulu dari Jorong Batang, Dua Koto, Pasaman, Sumatra Barat, menunjukkan pengabdian luar biasa demi menikahkan sepasang calon pengantin. Setelah menempuh 27 km naik ojek melintasi medan sulit, ia harus berenang menyeberangi sungai berarus deras karena jembatan… pic.twitter.com/L2iJgGLJlh
— Garuda TV (@garudatvnews) August 5, 2025
Setibanya di tebing sungai, Nasution mendapati jambatan satu-satunya yang menghubungkan ke kampung itu telah runtuh.
Tanpa banyak berfikir, Nasution menukar pakaian, menyerahkan beg dan dokumen kepada penduduk setempat, lalu berenang menyeberangi arus deras.
Di seberang, motosikal lain menunggunya untuk membawa beliau terus ke rumah pengantin.
Majlis akad nikah yang turut dihadiri ketua adat, Sumarno berlangsung pada pukul 11.30 pagi.
Hujan yang berterusan menyebabkan arus sungai semakin deras dan beliau dinasihatkan oleh penduduk untuk bermalam di kawasan tersebut bagi tujuan keselamatan.
Ketua Bahagian Bimbingan Perkahwinan, Kementerian Agama Indonesia, Afief Mundzir memuji keberanian Nasution.
“Dedikasi seperti ini membuktikan bahawa khidmat keagamaan bukan sekadar tugasan rasmi, tetapi amanah yang lahir dari hati,” katanya.
Kisah pengorbanan meredah sungai demi tugas bukanlah kali pertama berlaku di Pasaman.
Awal tahun ini, seorang bidan, Dona Lubis menjadi tular selepas mengharungi Sungai Batang Pasaman untuk merawat pesakit Tuberkulosis di Kejorongan Sinuangon, Nagari Cubadak Barat berikutan jambatan penghubung runtuh. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram