Misha sifatkan suami 'filter' terbaik, pelindung emosi di kala berdepan saat getir


  • Cinta
  • Rabu, 06 Ogos 2025

Misha Omar menganggap suami sebagai penapis yang baik dalam membina kerjaya seninya.

DI sebalik kejayaan dan kekuatan Misha Omar dalam industri seni, tersisip satu figura penting yang menjadi tulang belakang setiap langkahnya iaitu suami tercinta, Firos Ezwan Rosli.

Bagi penyanyi bersuara lunak itu, cinta suaminya bukan sekadar pelengkap hidup tetapi menjadi sumber inspirasi dan pelindung emosi dalam menghadapi badai dunia hiburan.

“Saya rasa setiap kejayaan yang dicapai dalam industri ini datang daripada sokongan suami. 

"Dia tak pernah penat, malah terlebih dahulu berasa luka dan peritnya industri ini.

"Apabila saya dikecam atau ada kata-kata menyakitkan, dialah yang tenangkan," kata Misha kepada Majoriti baru-baru ini.

Misha berkata, Firos sering mengingatkannya agar tidak terlalu mengambil hati dengan pandangan negatif orang luar.

“Dia selalu cakap,  ‘Sayang, it’s okay. They didn’t mean it like that.’ 

"Dia juga selalu kata orang luar tak kenal sifat kita yang sebenar macam mana," katanya. 

Bagi penyanyi lagu Pulangkan itu, suaminya bukan hanya pasangan yang sabar, malah menjadi penapis terbaik dalam hidupnya dalam membezakan antara kritikan membina dan kata-kata perlu diabaikan.

“Suami saya adalah filter terbaik. Dia ajar saya, bukan tak boleh dengar cakap orang, tapi ambil yang baik saja. Perkara buruk biar masuk telinga kanan, keluar telinga kiri,” ceritanya lanjut.

Bukan sekadar menyokong dari belakang, Firos juga tidak pernah jemu memastikan isterinya sentiasa berada dalam keadaan baik, walau sesibuk mana sekalipun.

“Dia akan sentiasa tanya saya okay ke tak dan kalau saya perlu ikut dia ke mana-mana, saya akan ikut. Dia bagi saya sokongan all-out tak kira dalam apa jua keadaan. Saya sayang suami saya," ujar ibu kepada dua cahaya mata tersebut. 

Malah, Misha menyifatkan kehadiran suaminya sebagai rahmat yang bukan sahaja menafkahi, malah turut meredai segala perjalanan seninya.

"Dia reda kerjaya saya bersama kawan-kawan," katanya. 

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2014 dan kini memiliki dua cahaya mata iaitu Mohd. Adam Emir dan Muhammad Idris Ezzwa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram