'Trauma bukan kelemahan, tak nampak pada mata, dalam hati masih terasa', Rita Sosilawati antara wanita titip kata semangat buat Bella Astillah


  • Cinta
  • Isnin, 04 Ogos 2025

Rita (kiri) antara wanita yang menitipkan kata-kata semangat buat Bella agar terus kuat dengan apa saja dugaan yang datang.

DETIK penyampaian trofi di pentas Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 menjadi tular selepas penyanyi dan pelakon, Bella Astillah kelihatan seolah-olah menahan getar sewaktu menyampaikan anugerah kepada pelakon Sophia AlBarakbah.

Momen tersebut mengundang pelbagai reaksi warga maya di laman Threads, khususnya golongan wanita yang menyifatkan tindakan produksi seolah-olah tidak sensitif terhadap emosi dan trauma silam dialami Bella.

Apatah lagi, nama pelakon Sophia pernah dikaitkan dengan keretakan rumah tangga Bella bersama bekas suami, Aliff Aziz.

Bella dilihat sukar menyembunyikan rasa getar sewaktu mengumumkan nama wanita pernah dikaitkan dengan sejarah hitam bahtera rumah tangganya.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak belajar piano, suka berlakon, Misha Omar tetap tekankan akademik teras agar seimbang

BACA LAGI: [VIDEO] 'Duit kami sentiasa bagi', anak sulung Cik Da tampil bersuara, bongkar sebab sebenar ibu hidup sendirian dalam hutan

Namun, ibu kepada dua cahaya mata tersebut tetap profesional walaupun raut wajahnya seakan-akan berubah barangkali terganggu emosi seketika.

Usahawan kosmetik terkenal, Erni Dekritawati Yuliana (Rita Sosilawati) menyifatkan trauma sebagai luka yang tidak kelihatan, tetapi tetap meninggalkan kesan mendalam.

"Trauma bukan kelemahan. Ia luka yang tak nampak pada mata, tetapi tubuh dan hati masih mengingatinya. Satu hari nanti Bella akan imbas kembali semua ini dan berkata, ‘Aku bangga kerana masih bertahan’," tulisnya.

Sementara itu, usahawan Nina Sabrina Ismail Sabri antara yang tampil memberi kata semangat buat Bella.

“Ramai orang komen tentang Bella, baru saya tengok apa yang berlaku. Dia memang dah move on, tapi orang yang pernah rasa je tahu.

"You can forgive or move on, but you can never forget. Dia tetap profesional dan tabah walaupun tahu dirinya sengaja diletakkan dalam situasi tidak selesa. Tahniah Bella," katanya.

Pelakon, Tiz Zaqyah pula menyifatkan momen di pentas itu sebagai satu bentuk 'buli' yang terselindung di pentas hiburan.

"Anugerah hiburan... apa yang kamu terus lakukan ini sebenarnya satu bentuk buli. Buli tetap buli dalam apa jua bahasa," katanya.

Bella (kanan) ketika menyampaikan trofi kepada Sophia pada AMT 2025, Ahad. 

Dalam pada itu, pembantu peribadi Bella, Niel Rafeq dalam satu hantaran di Instagram turut memberi penjelasan bahawa reaksi Bella bukanlah disengajakan, sebaliknya dipengaruhi oleh trauma silam yang masih membekas dalam diri penyanyi dan pelakon tersebut.

“Rakan terdekat sahaja tahu apa Bella pernah lalui. Itu bukan gayanya menyampaikan anugerah, tetapi pertemuan dengan individu yang pernah melukakan dia membuatkan Bella tergamam. Dia menggigil kerana trauma," katanya.

Beberapa pengguna lain turut menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan pihak produksi yang dilihat tidak mengambil kira kesan psikologi terhadap Bella.

“Kan dah cakap… Sophia tu bawa balik trauma lama Bella. Kenapa pihak produksi tak fikir langsung tentang kesihatan mental seseorang?," kata Nuzaa Zamar.

Model dan pelakon, Alicia Amin pula beranggapan tidak sepatutnya seorang wanita terus diperlakukan buruk terutama dikhalayak ramai.

“Mereka hanya buat begini kepada wanita. Lelaki tak pernah pula dimalukan sebegitu.Sick!," katanya.

Bukan itu sahaja, pakar kesihatan wanita, Dr Raihana Ismail turut melahirkan rasa kecewa terhadap penganjuran majlis yang tidak peka terhadap penderitaan emosi wanita.

“Geram tengok anugerah malam tadi. Jelas Bella menggigil sebab trauma, tapi tiada rasa belas langsung terhadap ibu tunggal yang teraniaya," katanya.

Untuk rekod, Bella dan Aliff Aziz pernah berdepan konflik rumah tangga pada 2023 apabila Aliff didakwa menjalinkan hubungan dengan Sophia ketika menjalani penggambaran drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 2016 dan bercerai buat kali kedua pada 13 Jun 2024.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Mohamed Ayden Adrean dan Ara Adreanna. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram