
MINGGU Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2025 terus menjadi tumpuan dengan pelbagai penampilan menarik, termasuk dari dua nama terkenal, Bella Astillah dan Zahnita Wilson.
Mereka menjadi fokus penonton ketika tampil dalam persembahan jenama kosmetik, L’Oréal Paris yang mengangkat teman Women of Worth pada Khamis.
Menurut perkongsian penata gaya Syukqadir menerusi hantaran di Instagramnya, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah hadir dengan adibusana rona merah terang yang cukup anggun.
Solekan Bella dengan olesan gincu bibir warna merah gelap berkilat menjadikan wajahnya tampak berani. @syukqadir
Rekaan berstruktur itu menampilkan lengan puff besar dari bahu, kolar tinggi tegak serta potongan skirt berlapis di bahagian pinggang.
Fabriknya yang berkilau menambahkan lagi kesan glamor dan mewah.
Rambut Bella diikat ponytail tinggi yang dililit kemas, kemudian dibawa ke arah depan di bahagian dahi membentuk gaya ala huruf S.
Mekapnya pula menonjolkan bibir merah gelap berkilat, solekan mata dengan bulu mata lebat dan pembayang shimmer menjadikan wajahnya lebih tajam dan berani.
Sementara itu, pelakon dan model, Zahnita Wilson pula membuat kemunculan semula selepas lama tidak muncul di acara fesyen besar.
Beliau tampil di pentas peragaan dengan gaya ringkas tetapi berkarisma.
Tangkap layar memaparkan penampilan Zahnita yang mencuri tumpuan di KLFW 2025 pada Khamis. —Instagram/@enya.chok
Beliau mengenakan blazer hitam polka dot merah menggunakan perincian butang dengan kolar bersaiz besar merah terang membentuk seakan hati dan dipadankan bersama baju dalam hitam.
Penampilannya lebih ringkas dengan potongan moden, mengekalkan gaya yang selesa tetapi tetap memikat.
Solekan tampak kemas. Rambutnya pula dibelah tengah dan dibiarkan terurai ke belakang, sekali gus menampakkan wajahnya dengan jelas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram