
MENGGALAS tanggungjawab sebagai ibu kepada dua anak perempuan yang kini menginjak usia remaja bukanlah mudah.
Itulah kata-kata diungkapkan oleh personaliti dan guru tarian terkenal, Linda Jasmine.
Bagi Linda, selain sibuk menguruskan kerjaya seninya, bekas isteri kepada pelakon dan pengarah terkenal, Que Haidar itu juga memberi perhatian sepenuhnya terhadap anak-anaknya.
BACA LAGI: Tidak mahu sia-siakan 22 tahun perkahwinan, Edika Yusof kini mahu fokus jaga isteri, urus bisnes
BACA LAGI: [VIDEO] Memasak 'love language' Eyka Farhana, resepi mudah jamu suami, keluarga
Linda Jasmine ketika menghadiri acara KLFW 2025 pada Selasa.
Menurutnya, dua anak perempuannya, Tengku Ratu Haidar kini sudah berusia 16 tahun, manakala Tengku Cleopatra Haidar, 13.
"Bukan senang nak jaga dua anak dara. Memang susah sebab kita risau sangat.
"Nak tahu mereka pergi mana, buat apa, dengan siapa. Jadi itu agak mencabar.
"Kalau konflik antara ibu dan anak memang ada cuma tidak terlalu besar, saya rasa ia perkara biasa," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2025 pada Selasa.
Mengulas lanjut tentang caranya menguruskan emosi anak-anaknya terutama selepas sah bercerai dengan bekas suami, Linda tidak menafikan bahawa ia juga antara cabaran baharu buatnya.
Katanya, isu perceraian mereka sedikit sebanyak memberi kesan kepada anak-anak.
Tengku Ratu Haidar (kiri) dan Tengku Cleopatra Haidar (tengah).
Linda bagaimanapun mengambil langkah untuk sentiasa memberi fokus untuk mengeratkan lagi hubungannya bersama anak-anak.
"Kita perlu banyak bersabar, cuba berkomunikasi dan beri nasihat.
"Saya selalu cakap pada mereka, pada hujungnya, kerisauan saya dan apa tindakan saya semua untuk kebaikan mereka.
"Jadi, saya selalu pesan, saya hanya nak mereka membesar jadi orang yang baik," jelasnya.
Selain nasihat, Linda juga mengambil pendekatan meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak.
"Saya punya aktiviti kerja pun tak sebanyak macam dahulu.
"Saya ambil masa untuk berkomunikasi, berbincang, cuba untuk buatkan mereka luahkan perasaan yang terpendam, cari jalan untuk betulkan semula keadaan, masalah atau sebagainya," ujarnya.
Sementara itu, Tengku Ratu Haidar kini dilihat aktif melibatkan diri dalam bidang seni seperti tarian dan peragaan.
Tengku Ratu Haidar antara model yang memperagakan koleksi Hatta Dolmat di KLFW 2025.
Anak sulung Linda turut menjadi antara model yang memperagakan koleksi busana rekaan Hatta Dolmat di KLFW 2025.
Pada 2 Julai lalu, Linda dan Que Haidar dilaporkan sah bercerai dan keputusan itu dibuat secara sepakat dari kedua belah pihak demi kebaikan bersama.
Walaupun berpisah, hubungan mereka juga dikatakan kekal baik dan memberikan sokongan antara satu sama lain demi anak-anak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram