
SEBUAH video tular di media sosial memaparkan tindakan spontan seorang lelaki pertengahan umur yang membantu seorang pengawal keselamatan wanita dengan membelikan tayar motosikal baharu di sebuah bengkel di sekitar Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 25 saat yang dimuatnaik oleh pemilik bengkel terlibat itu menunjukkan lelaki tersebut memeriksa keadaan tayar motosikal milik wanita berkenaan sebelum membuat keputusan untuk membelikannya tayar baharu.
Ia dipercayai setelah mengetahui wanita terbabit tidak mampu menukar tayar berikutan belum menerima gaji.
BACA LAGI: Ibu wajar ajar anak gadis catit tarikh haid, guna aplikasi mudah pantau jika PMS
"Terbaik uncle (pak cik) ini. Katanya kakak pengawal keselamatan ini tidak cukup duit untuk tukar tayar sebab gaji belum dapat.
"Uncle ini tidak cakap banyak, terus beli satu tayar baharu bagi kakak ini. Semoga uncle murah rezeki," tulis bengkel itu di ruangan kapsyen.
Video yang meraih hampir 200,000 jumlah tontonan itu nyata mengundang pelbagai reaksi positif dalam kalangan netizen yang rata-rata memuji sikap prihatin lelaki berkenaan.
"Semoga pakcik ni diberi kesihatan yang baik, rezeki melimpah-limpah, dipermudahkan urusan. Sama juga dengan kakak motor tu," komen @budakbuyong.
"Semoga uncle sentiasa dalam lindungan Tuhan," kata @zreensbeauty.
Ada juga yang menyifatkan perbuatan itu sebagai bukti bahawa kebaikan masih wujud dalam masyarakat, meskipun tanpa mengenali latar belakang individu yang dibantu.
Setakat ini, video tersebut telah meraih ribuan tontonan dan dikongsi semula di beberapa platform media sosial lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram