
DALAM usaha mendapatkan penampilan yang sempurna menjelang hari perkahwinan, rawatan berteknologi tinggi seperti laser, peeling kimia dan krim anti-penuaan sering menjadi pilihan utama.
Namun, dalam era kecantikan yang mementingkan kesejahteraan diri, semakin ramai bakal pengantin memilih untuk kembali kepada pendekatan semula jadi iaitu dengan melatih otot muka menerusi rutin senaman wajah.
Perkara itu bukan sekadar gaya baharu, tetapi mencerminkan perubahan sikap terhadap kecantikan.
BACA LAGI: Luna Maya pilih tema 'Matahari dan Bulan', resepsi unik siap ada gelanggang tenis dalam dewan
Bukan lagi sekadar hasil luaran, pengantin zaman sekarang lebih cenderung kepada kecantikan yang bersumber daripada kesihatan dalaman dan kesejahteraan emosi.
Menurut jurulatih yoga bertauliah yang berpangkalan di Sharjah, Leila Mansour, senaman muka memberikan manfaat yang setara dengan senaman fizikal biasa, malah menyasarkan kawasan otot wajah yang sering diabaikan.
“Wajah kita mempunyai lebih 40 otot yang memainkan peranan penting dalam ekspresi dan struktur muka.
"Senaman muka membantu merangsang peredaran darah, menyokong penghasilan kolagen serta melancarkan sistem limfa. Ia bukan sahaja memperbaiki keadaan kulit, tetapi turut melegakan ketegangan otot yang tersembunyi akibat tekanan harian,” katanya.
Teknik gua sha menekankan kepentingan urutan muka sebagai sebahagian daripada rutin harian. — Gambar Hiasan
Walaupun konsep itu dilihat moden, amalan merawat wajah secara semula jadi telah lama menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Timur.
Dalam perubatan tradisional Cina, teknik gua sha dan akupresur digunakan untuk melancarkan aliran darah, manakala rawatan Ayurveda di India menekankan kepentingan urutan muka sebagai sebahagian daripada rutin harian.
Di Maghribi pula, rawatan hammam turut merangkumi lulur dan urutan wajah secara menyeluruh.
Senaman muka kini dipakejkan dalam bentuk ‘bootcamp kecantikan’ yang lazimnya bermula tiga hingga enam bulan sebelum majlis perkahwinan.
Rutin itu merangkumi urutan bagi melancarkan saluran limfa, teknik urutan buccal dari dalam mulut, penggunaan bekam muka serta aplikasi alat berfrekuensi tinggi.
Penggunaan peralatan tradisional seperti kansa wand, batu kristal rose quartz dan jade roller juga kembali mendapat tempat dalam kalangan pengamal kecantikan holistik.
Sudah tentu setiap wanita ingin memastikan wajah kelihatan lebih menawan menjelang hari perkahwinan. — Gambar Hiasan
Menurut Leila, hasil tidak dapat dicapai dalam tempoh singkat, namun perubahan ketara dapat dilihat sekiranya pengantin mengamalkan senaman wajah secara konsisten.
“Amalan 10 hingga 15 minit setiap hari boleh memberikan kesan positif dalam tempoh beberapa minggu. Ia membantu menegangkan kontur wajah, mengurangkan bengkak serta menyerlahkan seri semula jadi kulit,” katanya.
Di samping itu, kaedah rawatan refleksologi wajah, urutan shiatsu serta teknik penyembuhan menggunakan kristal turut ditambah sebagai rutin sokongan untuk membantu menstabilkan emosi dan memperbaiki kualiti tidur iaitu faktor yang turut mempengaruhi penampilan pada hari perkahwinan.
Walau bagaimanapun, pakar menyarankan agar sebarang rawatan baharu tidak dilakukan dalam tempoh seminggu menjelang hari majlis.
Sebaliknya, fokus harus diberikan kepada penjagaan asas seperti hidrasi mencukupi, rehat berkualiti dan amalan ritual yang menenangkan.
Rawatan oksigen yang dijalankan 48 jam sebelum majlis turut disarankan kerana mampu memberikan kesan menyegarkan tanpa risiko iritasi.
Senaman muka mungkin bukan pengganti mutlak kepada pemakanan seimbang dan penjagaan kulit yang sistematik, namun ia merupakan satu bentuk pelaburan jangka panjang terhadap kesihatan dan kesejahteraan diri.
“Keanggunan seorang pengantin bukan terletak pada solekan semata-mata, tetapi pada seri yang terpancar daripada dalam, hasil daripada kesihatan tubuh, kestabilan emosi dan usaha menjaga diri secara berterusan,” kata Leila. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram