'Saya tak sangka itu aib baginya', ibu akui tersilap cerita hal peribadi anak depan keluarga


  • Bonda
  • Khamis, 07 Ogos 2025

Ibu bapa seharusnya peka terhadap perasaan anak-anak kerana mungkin gurauan yang disampaikan sebenarnya aib kepada mereka. — Gambar hiasan/Janaan AI

SEORANG wanita meluahkan rasa kesal selepas tidak menyangka cerita lama tentang anaknya yang dikongsi kepada keluarga besar dianggap sebagai satu bentuk aib oleh si kecil.

Perkongsian yang dimuat naik oleh pengguna Threads, @jannarajmi, menarik perhatian ramai apabila beliau menceritakan detik yang membuka matanya tentang sensitiviti anak kecil terhadap cerita-cerita silam walaupun disampaikan dalam nada gurauan.

Menurut beliau, insiden itu berlaku ketika mereka sekeluarga berkumpul di rumah saudara di Melaka bagi menziarahi bapa saudara suaminya yang sedang sakit.

BACA LAGI: Tepis tanggapan vaksin hanya untuk kanak-kanak, PCV20 bantu lindungi daripada 20 jenis bakteria pneumokokus

BACA LAGI: Setiap bulan upah servis bersih, kemas rumah mak di kampung, hati rasa tenang, rezeki melimpah walau 'sekecil' perkara

 

 

“Apabila berkumpul, macam-macamlah keletah anak depan nenek dan atuk,” katanya.

Ketika menjawab pertanyaan saudara-mara mengenai sikap anak-anak, beliau secara spontan berkongsi kejadian ketika anak bongsunya, Aisyah berumur sekitar dua tahun.

Dalam cerita tersebut, Aisyah kononnya cuba menendang seorang kanak-kanak lelaki yang menolak kakaknya di taman permainan.

Cerita tersebut mencetuskan gelak ketawa dalam kalangan ahli keluarga. Namun, tidak lama kemudian, beliau menyedari perubahan riak wajah Aisyah yang kelihatan muram selepas mendengar cerita itu.

“Tiba-tiba saya perasan wajah Aisyah muram dan masam, jeling-jeling saya,” ujarnya.

Selepas beberapa kali dipujuk, Aisyah akhirnya meluahkan rasa tidak selesa dengan tindakan ibunya yang mendedahkan cerita tersebut di hadapan orang lain.

“Adik nak tendang orang. Tendang tu tak baik. Adik kecil dulu, jadi adik tak tahu yang tendang tu tak baik,” kata anaknya seperti yang dikongsikan.

Wanita itu mengakui tersentak dan mula menyedari bahawa tidak semua cerita yang dianggap lucu atau biasa oleh orang dewasa, boleh diterima dengan selesa oleh anak-anak.

“Berderau darah saya. Saya faham, kadang-kadang kita rasa okey, tapi tak semestinya okey bagi orang lain. Bagi dia, itu aib. Saya sepatutnya lebih cakna,” katanya.

Susulan kejadian itu, beliau memohon maaf kepada anaknya dan berjanji untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang.

“Saya cakap pada dia, mulai sekarang kalau nak cerita apa-apa tentang dia, saya akan minta kebenaran dulu. Maafkan ibu,” ujarnya.

Beliau turut menyeru ibu bapa lain agar lebih peka terhadap perasaan anak-anak, meskipun dalam situasi yang kelihatan remeh atau tidak disengajakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram