[VIDEO] Risau anak kembar nangis di dalam kapal terbang, Dennis Lim hadiahkan penumpang coklat tanda 'maaf'


  • Bonda
  • Selasa, 05 Ogos 2025

Dennis Lim menghadiahkan bungkusan berisi coklat dan gula-gula kepada seluruh penumpang dalam kapal terbang.

BIMBANG anak kembarnya menangis sehingga mengganggu keselesaan penumpang lain, pendakwah dan pempengaruh terkenal, Dennis Lim mengambil inisiatif menghadiahkan bungkusan berisi coklat dan gula-gula kepada para penumpang di dalam kapal terbang.

Momen itu dirakam dalam satu video yang dimuat naik peminat ke laman Instagram dengan memperlihatkan Dennis berjalan dari satu ke tempat duduk lain lalu menghulurkan hadiah kecil sebagai tanda permohonan maaf terlebih dahulu.

Difahamkan, Dennis berada di dalam penerbangan itu bersama isteri, Yunda Faisyah dan dua anak kembar mereka. 

Beliau dalam perjalanan menuju ke Hong Kong untuk menyampaikan khutbah di sebuah masjid di sana.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak belajar piano, suka berlakon, Misha Omar tetap tekankan akademik teras agar seimbang

BACA LAGI: [VIDEO] 'Duit kami sentiasa bagi', anak sulung Cik Da tampil bersuara, bongkar sebab sebenar ibu hidup sendirian dalam hutan

Dennis berkata, itu merupakan penerbangan pertama buat anak-anak mereka, Ibrahim dan Muhammad yang berusia lima bulan.

“Disebabkan ini kali pertama mereka menaiki kapal terbang, saya risau akan menangis atau buat bising. Jadi, saya hulurkan sedikit buah tangan sebagai tanda maaf awal kepada penumpang lain,” katanya dalam video berkenaan.

Menariknya, setiap bungkusan itu bukan sekadar berisi coklat dan gula-gula, malah turut disertakan sepucuk nota ringkas bertulis tangan yang ditulis seolah-olah daripada sudut pandang si kembar.

Kandungan nota tersebut berbunyi, “Kami Ibrahim dan Muhammad, berumur lima bulan. Hari ini akan ke Hong Kong bersama ibu bapa kami. Ini penerbangan pertama. Kami mungkin akan menangis atau bising kerana takut. Kami harap coklat ini dapat menggembirakan anda sedikit.”

Menjengah ke ruangan komen, tindakan kecil namun penuh makna itu meraih perhatian dan pujian ramai. 

Rata-rata warga maya menyifatkan Dennis ibu bapa contoh berakhlak dan peka terhadap keselesaan orang lain.

"Luar biasa adab beliau, semoga selalu istiqamah dan jadi pembelajar," kata Johan Lontoh.

"Nah macam inilah baru betul. Memiliki dua orang anak bermakna saling membantu. Sekurang-kurangnya berikan sedikit hadiah kepada penumpang lain supaya mereka tidak terganggu. Lebih-lebih lagi dalam perjalanan yang jauh. Buat baik macam ini patut ditiru bukan didengki," kata Najaejaee14. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram