
TINDAKAN seorang ibu meninggalkan anaknya dalam keadaan menangis dan berlari-lari di tepi jalan sesak berhadapan Lexa Residences, Wangsa Maju pagi Selasa.
Perkara itu mengundang kemarahan ramai, khususnya dalam kalangan ibu bapa lain yang menyaksikan kejadian tersebut.
Perkara itu tular selepas seorang wanita, Azeera Nasir, berkongsi pengalaman terpaksa masuk campur melalui satu hantaran panjang di Threads apabila keadaan semakin membahayakan dan mengganggu lalu lintas.
BACA LAGI: Jodoh awan biru, perkenalan di kerusi 24A, 24B akhirnya bersatu atas pelamin
BACA LAGI: 5 trend dekorasi, item hiasan kediaman pakar 'label' tahap tepu, ketinggalan zaman
"Aku ini nak pergi check up baby, dah satu hal aku kena pergi balai polis dulu report hal kau.
"Daripada lobi Lexa dia biar anak berlari melalak-lalak, kejar kereta, dia pula yang marah-marah kita, 'Haaaa pergi-pergi report police, I want to educate him.'"
Azeera menyifatkan tindakan wanita terbabit sebagai tidak bertanggungjawab dan berbahaya, apatah lagi ketika waktu puncak dengan kenderaan bertali arus di kawasan berkenaan.
"Benda aku pun mak budak juga, jalan raya sesak macam ini tempat educate ke? Tambahan, depan ini jam pagi-pagi, habis aku kena bergembira sahaja tengok drama ini ke macam mana?"
Malah menurut Azeera lagi, wanita itu dilihat sedang sibuk merakam anaknya yang menangis dan meminta maaf dari dalam kereta, tanpa sebarang reaksi simpati atau rasa bersalah.
"Rupanya sepanjang masa itu, dia merekod anak dia yang tengah melalak mintak ampun dekat dia itu, aku macam 'aku salah tengok ke ni?'"
Azeera yang pada awalnya tidak berniat untuk merakam atau viralkan kejadian itu akhirnya membuat laporan polis demi keselamatan anak tersebut dan pengguna jalan raya yang lain.
'Nak didik boleh, tapi biar kena tempat'
Tindakan ibu tersebut pantas menerima kecaman daripada ramai warganet yang turut mengikuti perbincangan tersebut di media sosial.
Pengguna bernama @Izzatipatrick menulis: "Jalan ini punyalah bersusun kereta pagi-pagi ini. Budak sekolah lagi kadang orang lintas sini nak pergi LRT pun jadi seram memikirkan bahaya jalan ini."
Manakala @Izzahsaiun pula menyentuh soal sivik: "Awak nak educate your son, fine silakan, but not at the cost of others. Lainlah kalau jalan itu bapa dia punya. Aunty-aunty, mesti fail subject sivik ini dulu."
Paling lantang ialah @Shuraizahs yang menyifatkan tindakan itu bukan mendidik, tapi mendera secara emosi: "Leaving your kid crying on the roadside in a school uniform, chasing your car, tengah sesak pula itu, that’s not parenting, that’s a public meltdown at your child’s expense. Kalau struggle mental, please get help. Kalau tak, apa lagi alasan?”
Cara betul tegur anak
Warganet berpendapat bahawa mendidik anak memerlukan konsisten, empati dan suasana yang selamat.
Jika anak enggan ke sekolah, berikut beberapa langkah yang lebih wajar dan berkesan:
1. Bertenang dan elakkan menghukum secara terbuka
Anak yang menangis atau melawan biasanya sedang alami tekanan emosi. Tingkah laku agresif atau memalukan mereka di hadapan orang ramai hanya memburukkan keadaan.
2. Berkomunikasi dengan lembut tetapi tegas
Tanya apa yang membuatkan mereka tak mahu ke sekolah, adakah takut guru, dibuli, tak siap kerja sekolah? Kadang-kadang, punca mereka enggan ke sekolah bukan sekadar 'malas'.
3. Gunakan logik yang mudah difahami anak
Beri penjelasan mengikut tahap umur mereka, contohnya: "Kalau abang tak pergi sekolah, abang tak boleh pandai baca macam kawan-kawan lain."
4. Elakkan main kuasa atau ugutan
Jangan gunakan frasa seperti, "Kalau tak turun kereta, mama tinggal!" kerana ia menanam ketakutan bukan kefahaman.
5. Jangan rakam atau malukan anak
Merakam anak dalam situasi emosi tidak stabil, lebih-lebih lagi untuk tatapan umum, boleh menyebabkan trauma jangka panjang dan merosakkan hubungan ibu bapa-anak.
6. Dapatkan bantuan pakar jika perlu
Jika situasi berulang, rujuk kaunselor sekolah atau pakar psikologi kanak-kanak. Ia bukan tanda kegagalan sebagai ibu bapa, tetapi usaha untuk jadi lebih baik.
Buat masa ini, belum ada maklumat rasmi daripada pihak polis berhubung laporan yang telah dibuat.
Namun, warganet mendesak agar kes itu disiasat dan tindakan sewajarnya diambil demi kesejahteraan kanak-kanak tersebut.
Insiden itu mencetuskan perbincangan lebih luas tentang cara mendidik anak secara berhemah dan berempati tanpa melibatkan ancaman kepada keselamatan diri dan orang lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram