‘Ramai tak sedar warna hitam putih sebenarnya…’, penganalisis warna kongsi panduan gaya korporat


  • Gaya
  • Rabu, 06 Ogos 2025

Pemilihan warna yang tepat mampu mempengaruhi imej profesional seseorang di dunia korporat.

WARNA bukan sekadar pelengkap fesyen, sebaliknya mampu memberi kesan besar kepada keyakinan diri dan penampilan.

Di My Palette Studio, pengasasnya Afiqah Mohd Haidafitri melihat sendiri bagaimana pelanggan yang sebelum ini 'bergelut' dengan perasaan kurang yakin berubah menjadi lebih berkeyakinan selepas mengetahui warna yang sesuai untuk mereka.

Menurut beliau, antara kesilapan biasa yang sering dilakukan ialah memilih padanan warna kontras yang tidak tepat atau terlalu bergantung pada hitam dan putih dalam gaya formal.

BACA LAGI: Gincu merah: Dahulu tabu kini jadi simbol kuasa, kebebasan

BACA LAGI: Tokoh korporat dari Cherok Tok Kun enggan terlalu selesa, mahu wanita hindari sindrom 'imposter'

Afiqah Mohd Haidafitri.

Dengan pemilihan warna yang betul, seseorang bukan sahaja kelihatan lebih profesional, malah boleh mengurangkan penggunaan solekan tebal dan tampil lebih segar serta natural.

Bagi usahawan berusia 29 tahun itu, warna bukan sekadar soal kecantikan luaran tetapi turut memberi kesan kepada emosi.

Kongsinya, beliau pernah menerima pelanggan yang mengalami masalah kesihatan mental dan berasa tidak cantik sehingga hilang keyakinan untuk berdepan dengan orang ramai.

“Saya pernah ada seorang klien yang menangis selepas sesi analisis warna. Dia cakap selama ini dia rasa tak cantik dan tak yakin.

"Tapi apabila dia tahu warna yang sesuai, dia rasa macam jumpa diri dia yang baru,” katanya sambil menambah pemakaian warna yang tepat mampu meningkatkan keyakinan serta memberi kesan positif terhadap prestasi kerja.

Tiga langkah analisis warna

Bagi membantu seseorang mencari padanan warna yang tepat, proses analisis warna dijalankan melalui tiga langkah utama.

Pertama, menentukan warna dasar kulit atau undertone sama ada warm, cool, neutral, neutral cool atau neutral warm.

Kedua, mengenal pasti tahap kecerahan warna (value) yang sesuai sama ada tona cair, sederhana atau gelap.

Ketiga, mengenal pasti tahap ketegasan warna (intensity) yang serasi dengan ciri semula jadi kulit.

“Kalau ciri kulit lebih lembut atau muted, elakkan warna terlalu kuat. Tapi kalau kulit ada bright intensity, warna terang akan lebih menyerlahkan penampilan,” jelasnyaa yang sudah berkecimpung dalam industri terlibat selama lebih 12 tahun.

Terlalu bergantung pada hitam dan putih bukan satu-satunya cara untuk tampil profesional di tempat kerja. — Gambar hiasan/Freepik

Kesilapan biasa dalam dunia korporat

Mengulas mengenai kesilapan yang sering dilakukan dalam pemilihan warna untuk penampilan formal atau di dunia korporat, ibu kepada seorang anak itu berkata, ramai cenderung memilih padanan warna kontras yang tidak tepat, terutamanya terlalu bergantung pada hitam dan putih.

Tidak semua orang sesuai dengan hitam, malah gabungan hitam dan putih boleh membuatkan individu bertubuh rendah kelihatan lebih pendek.

“Ramai fikir nak nampak profesional kena pakai hitam putih, sedangkan pilihan warna korporat lebih luas. Tak semestinya.

"Kita ada navy blue, dark grey, emerald green, dark brown atau khaki yang boleh digabungkan dengan warna muted (tidak terlalu terang) atau warna fesyen seperti mustard, merah jambu dan biru,” jelasnya.

Tip padanan warna korporat

Berkongsi tentang bagaimana analisis warna membantu mereka yang sering merasakan pakaian tidak ‘kena’ khususnya dalam dunia korporat, Afiqah menjelaskan bahawa tumpuan utama adalah pada bahagian berhampiran wajah.

“Bagi yang berhijab, tudung memainkan peranan besar. Untuk yang tidak berhijab, ia melibatkan pilihan warna pakaian di bahagian atas. Dari situ kita mula gunakan warna yang tepat,” katanya.

Beliau turut memberikan dua tip padanan warna untuk penampilan korporat.

Pertama, gabungan neutral dengan neutral seperti rona coklat, hijau, putih, hitam atau navy blue.

Kedua, warna neutral dengan warna fesyen seperti merah jambu, kuning, hijau atau biru yang lebih vibrant.

“Contohnya, jika baju berwarna navy blue atau hitam, padankan dengan tudung warna teal. Asalkan warna korporat lebih dominan berbanding warna fesyen, penampilan masih kelihatan profesional,” jelasnya.

Kini, ramai menggunakan AI untuk menganalisis warna yang sesuai dengan tona kulit muka. — Gambar hiasan/Freepik

Analisis warna sendiri di rumah

Berkongsi tip mudah untuk menganalisis warna sendiri di rumah, Afiqah menyarankan agar dilakukan di bawah cahaya matahari terang tanpa solekan dan rambut ditutup bagi memastikan fokus hanya pada kulit wajah.

“Gunakan dua kain atau kertas berwarna oren dan merah jambu. Jika rona merah jambu membuatkan wajah lebih segar, itu tanda cool undertone. Jika oren atau peach coral tampak lebih cantik, itu warm undertone,” jelasnya.

Tip kedua, ujian gincu sama ada rona coral dan coklat kelihatan lebih sesuai (warm undertone) atau rona merah jambu dan ungu yang lebih menyerlah (cool undertone).

Namun, Afiqah mengingatkan bahawa analisis sendiri berisiko 'berat sebelah'.

“Kita cenderung memilih warna yang kita suka walaupun tidak sesuai. Pakar melihat secara objektif tanpa pengaruh peribadi,” katanya.

Mengulas tentang trend menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk analisis warna, beliau berkata teknologi tersebut masih mempunyai keterbatasan, terutamanya dari segi pencahayaan gambar, ketepatan melihat warna anak mata dan ketiadaan proses analisis berperingkat.

“AI cenderung memberi jawapan umum seperti soft autumn atau dark winter untuk kebanyakan orang Asia walaupun sebenarnya julat warna individu lebih luas,” katanya.

Afiqah tidak menolak penggunaan AI sebagai percubaan awal, tetapi menasihatkan agar hasilnya diuji terlebih dahulu.

“Jangan terus membeli pakaian mengikut cadangan AI. Penilaian manusia tetap lebih tepat,” tegasnya.

Justeru, memilih warna yang tepat bukan sahaja membantu penampilan kelihatan lebih kemas dan profesional, tetapi juga memberi kesan kepada keyakinan diri.

Walaupun teknologi seperti AI boleh digunakan sebagai panduan awal, kepakaran manusia masih diperlukan untuk memastikan padanan warna benar-benar sesuai dan mampu memperlihatkan keunikan seseorang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram