
TIDAK banyak alat solek yang mampu mencetuskan reaksi sekuat sebatang gincu. Dari satu sapuan kecil, ia mampu mengubah penampilan, membangkitkan keyakinan dan menjadi tanda personaliti pemakainya.
Ada menganggapnya sekadar kosmetik untuk menyerlahkan warna bibir, namun bagi sebahagian yang lain, gincu adalah pernyataan tentang siapa dan bagaimana mereka mahu dilihat.
Dari pentas peragaan hingga ke rutin harian, gincu kekal antara simbol kecantikan paling berpengaruh di dunia.
BACA LAGI: [VIDEO] Pengalaman menginap di Assarraa, kediaman mewah, sarat tradisi dalam kawasan istana Brunei
Ratu Elizabeth I pernah mempopularkan bibir merah terang, tetapi ia dikecam gereja. — Media sosial
Namun, tahukah anda? Gincu yang kini menjadi aksesori kecantikan utama, memiliki sejarah tersendiri.
Ia bukan sekadar alat solek, malah menjadi medium protes, kebebasan berekspresi dan penentangan terhadap norma sosial sejak ribuan tahun lalu.
Kajian sejarah menunjukkan penggunaan gincu bermula lebih 5,000 tahun lalu di Mesopotamia, apabila lelaki dan wanita menghancurkan batu permata untuk mewarnakan bibir.
Pemerintah Mesir purba, Cleopatra terkenal dengan warna merah ikonik yang dihasilkan daripada serangga kumbang dan semut.
Namun, penerimaan gincu tidak selamanya positif. Pada abad ke-16 di England, Ratu Elizabeth I mempopularkan bibir merah terang, tetapi ia dikecam gereja.
Di Amerika Syarikat (AS) ketika era Puritan, wanita yang memakai gincu dituduh mengamalkan sihir.
Peranan gincu berubah secara dramatik pada tahun 1920-an apabila ia menjadi simbol politik.
Aktivis hak wanita di AS atau golongan suffragettes menggunakan gincu merah sebagai tanda penentangan terhadap sistem yang mengekang peranan wanita.
Usahawan kosmetik terkenal, Elizabeth Arden pernah mengedarkan gincu kepada wanita yang berarak menuntut hak mengundi, menjadikan solekan ini sebagai simbol perjuangan.
Gincu menjadi sentuhan terakhir yang melengkapkan penampilan. — Gambar hiasan/Freepik
Di India, populariti gincu berkembang melalui filem-filem 1940-an. Menjelang awal 1990-an, kemasukan jenama kecantikan antarabangsa meningkatkan status gincu sebagai produk aspirasi.
Tidak lama kemudian, ia menjadi simbol keberanian untuk menonjolkan diri dan menentang batasan sosial.
Fenomena ini sekali lagi mendapat perhatian pada 2016 apabila filem Lipstick Under My Burkha mencetuskan gerakan kebebasan wanita.
Filem itu mencabar mencabar dominasi lelaki dan sekatan kandungan, menjadikan bibir merah sebagai lambang protes. Tanda pagar berkaitan filem tersebut menjadi ruang pemberontakan digital di media sosial.
Menariknya, terdapat fenomena yang dikenali sebagai lipstick effect, iaitu peningkatan jualan gincu ketika kemelesetan ekonomi.
Menurut laporan 6Wresearch, pasaran gincu di Malaysia menghadapi cabaran semasa pandemik kerana peraturan pemakaian pelitup muka dan penurunan permintaan produk bibir.
Meskipun diramalkan akan pulih secara berperingkat, tiada petunjuk peningkatan ketara berlaku waktu itu
Ia membuktikan bahawa dalam situasi sukar, pengguna masih mencari kemewahan kecil yang mampu meningkatkan keyakinan diri.
Sejak zaman purba hingga era moden, gincu kekal sebagai simbol yang membawa makna lebih besar daripada sekadar hiasan bibir.
Ia adalah manifestasi kuasa, politik, protes dan keseronokan, menjadikan setiap batang gincu bukan hanya milik pemiliknya, tetapi juga sebahagian daripada sejarah perjuangan kebebasan individu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram