
SEORANG pelajar dari wilayah Henan, tengah China yang koma akibat jangkitan jantung, mengejutkan ramai apabila tiba-tiba sedar selepas ditunjukkan surat tawaran kemasukan ke universiti.
Menurut laporan agensi, gadis berusia 18 tahun itu, Jiang Chennan dimasukkan ke hospital pada 11 Julai lalu selepas mengalami demam dan sesak dada.
Kejadian berlaku sejurus selepas beliau menduduki peperiksaan kemasukan universiti negara China, dikenali sebagai gaokao pada Jun.
BACA LAGI: Setiap bahagian ada fungsi, suhu tertentu, susun atur peti sejuk rahsia makanan tahan lama
Peperiksaan gaokao bertujuan menilai kelayakan pelajar lepasan sekolah menengah di China bagi melanjutkan pengajian ke peringkat universiti. — Agensi
Doktor kemudian mengesahkan Jiang menghidap fulminant myocarditis, sejenis radang jantung yang jarang berlaku, tetapi boleh bawa maut.
Penyakit ini biasanya berpunca daripada jangkitan virus, tekanan emosi atau gaya hidup yang tidak sihat. Dalam kes Jiang, puncanya tidak diketahui.
Keadaannya bertambah buruk sehingga beliau dipindahkan ke hospital lain dan koma. Jiang hanya bergantung kepada mesin sokongan jantung dan paru-paru di unit rawatan rapi (ICU).
Keluarganya hidup dalam kesempitan. Ayahnya yang cedera akibat kemalangan jalan raya pada 2023, kini tidak mampu bekerja dan hanya berehat di rumah.
Ibunya pula mencari rezeki dengan menjual makanan di tepi jalan manakala adik lelaki mereka masih bersekolah menengah.
Bagi menampung kos rawatan, keluarga Jiang terpaksa meminjam wang dari pelbagai pihak. Setakat ini, bil rawatan sudah melebihi 200,000 yuan (kira-kira RM117,000).
Namun, keajaiban berlaku pada hari kelapan Jiang koma. Ayahnya menerima surat tawaran universiti dan membawanya ke hospital.
Beliau memegang surat tawaran itu sambil memberitahu anaknya bahawa mereka sekeluarga sangat gembira dengan pencapaiannya.
“Kami semua sangat gembira. Kamu telah berjaya masuk universiti!” kata bapanya kepada Jiang.
Ketika itu, beliau melihat kelopak mata Jiang bergerak-gerak, sekal gus memberi harapan kepada keluarga.
Keesokannya, Jiang sedar dan sempat membuat panggilan video bersama ibu bapanya. Dalam panggilan itu, beliau memberi isyarat tangan 'OK' sebagai tanda faham dan gembira.
Namun, Jiang masih belum dapat bercakap dengan jelas. Beliau diterima masuk ke sebuah institusi swasta di Henan, Universiti Pengangkutan Huanghe.
Keputusan gaokao-nya bagaimanapun tidak didedahkan kepada umum.
Doktor menyifatkan Jiang sebagai seorang gadis yang bertuah dan luar biasa kerana fungsi jantungnya telah pulih sepenuhnya dan keadaannya kini stabil.
Namun begitu, punca sebenar pemulihannya yang dianggap pantas masih belum diketahui.
Bapanya tetap bertekad untuk menyokong impian anaknya walaupun berdepan kesempitan hidup.
“Walau macam mana susah pun hidup kami, saya tetap akan hantarnya ke universiti. Itu impiannya," jelasnya.
Kini Jiang dipindahkan ke wad biasa dan dijangka memulakan pengajian pada September ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram