
RAMAI menyangka cinta hanya memerlukan rasa suka dan keserasian, sedangkan hakikatnya cinta yang utuh menuntut kematangan dalam memahami, meluah dan menerima perasaan antara satu sama lain.
Menurut Pegawai Intervensi Awal Kanak-Kanak, Emir Haqim Azahari, satu kemahiran penting sering diabaikan setiap pasangan sebelum melangkah ke alam perkahwinan ialah kemahiran berkomunikasi tentang perasaan.
Dalam satu hantaran di media sosial, Emir menegaskan bahawa kemampuan meluahkan perasaan secara matang bukanlah sesuatu yang datang secara semula jadi, tetapi ia perlu dipelajari dan diasah.
“Sebelum kita kahwin, ada satu kemahiran yang kita kena master. Kita kena belajar untuk bercakap tentang perasaan kita. Tak kisah lelaki atau perempuan, kita perlu belajar bagaimana untuk berkomunikasi tentang apa yang kita rasa,” katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Anak belajar piano, suka berlakon, Misha Omar tetap tekankan akademik teras agar seimbang
Tambahnya, ramai yang memberi alasan tidak pandai meluah perasaan apabila timbul konflik dalam rumah tangga.
Namun, menurut Emir, berkomunikasi tentang emosi adalah satu kemahiran, bukan bakat semula jadi seseorang.
“Kalau saya kata ini skil, maksudnya ia boleh dikembangkan. Bukan tiba-tiba kita akan pandai, tapi kita boleh belajar. Tak mahu nanti bila dah kahwin, bergaduh sikit terus keluar rumah, sekat media sosial pasangan atau balik kampung bawa diri,” katanya.
Beliau menyarankan agar setiap individu belajar untuk duduk berbincang tanpa meninggikan suara atau menyalahkan pasangan.
Proses itu bukan bertujuan untuk memenangi hujah, sebaliknya membuka ruang untuk saling memahami.
“Kita perlukan pasangan yang boleh duduk dan cakap elok-elok. Contohnya beritahu awak marah sebab apa atau sedih sebab apa.
"Bila kita tahu perasaan pasangan, barulah kita boleh bincang tentang tindakan seterusnya,” katanya.
Menurut Emir lagi, jika seseorang perlukan masa untuk menenangkan diri, mereka masih boleh menyampaikan mesej itu dengan baik tanpa menimbulkan salah faham.
“Cakap saja, ‘Saya minta maaf, saya tak boleh berbincang sekarang. Situasi ini sukar untuk saya, tapi saya akan kembali bila saya bersedia.’ Itu lebih baik daripada diam membisu atau menghilang," katanya.
Emir juga menyentuh soal perbezaan cara seseorang menunjukkan kasih sayang, yang dipengaruhi oleh gaya keterikatan atau attachment style masing-masing.
Justeru, komunikasi emosi yang terbuka membolehkan pasangan saling memahami cara mencintai antara satu sama lain dengan lebih baik.
“Kita bukan nak selesaikan masalah terus pun. Tapi ini ruang untuk kita saling kenal dan faham lebih mendalam.
"Cara awak nak disayangi mungkin berbeza dengan saya. Jadi kita belajar macam mana nak sayangi satu sama lain,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram