
DI sebalik suara merdu di atas pentas Anugerah Juara Lagu, Misha Omar turut dikenali sebagai seorang ibu yang mengutamakan pendidikan, kesejahteraan emosi dan nilai adab dalam membesarkan anak-anak.
Bagi penyanyi berusia 43 tahun itu, kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga melalui peribadi dan sikap anak-anak terhadap orang sekeliling.
Misha yang juga ibu kepada dua orang anak itu sentiasa mencari keseimbangan dalam pendekatan keibubapaan.
BACA LAGI: Ternanti-nanti jodoh? Ramai tak tahu doa ini mampu jadi kunci pasangan soleh dan solehah
Baginya, gabungan antara ketegasan gaya lama dan pendekatan moden yang lebih lembut adalah jalan terbaik.
“I'm walking a very fine line. Bila perlu tegas, saya akan tegas. Sebab zaman sekarang, bab adab tu sangat membimbangkan.
"Saya nak anak saya beradab dengan orang. Kalau anak kita tak ada adab, orang tak suka. Itu akan buat saya sedih,” katanya kepada Majoriti.
Dalam memastikan pelajaran anak tidak terabai, Misha juga menekankan kepentingan subjek-subjek teras supaya anak memperoleh ilmu yang secukupnya.
Meskipun anak keduanya, Muhammad Idris Ezzwa menunjukkan minat mendalam dalam bidang seni, dia tetap diberikan sokongan akademik yang kukuh.
“Idris minat seni, dia belajar piano, suka berlakon dan pandai bercakap. Tapi saya tetap tekankan pelajaran. Subjek teras mesti diberi perhatian,” katanya.
Namun begitu, Misha tidak menafikan pentingnya motivasi sebagai pendorong kepada usaha anak-anak.
“Contoh macam Idris tu... kadang dia beritahu perlukan sesuatu. Lagi-lagi bila musim peperiksaan. Bila tunggu keputusan, dia mahu bercuti pula. Tapi saya tahu bila saya tunaikan, dia tak sia-siakan apa yang saya beri. Dia buat sungguh-sungguh. Jadi saya akan tunaikan, sama ada bawa makan di tempat yang dia suka atau beri apa yang dia minta sebagai ganjaran," katanya.
Lebih daripada itu, Misha juga peka terhadap emosi anak-anak dan sentiasa cuba mengelakkan tekanan berlebihan dalam soal akademik.
“Saya akan tanya macam mana ibu boleh bantu awak. Saya nak anak-anak tahu mereka tak keseorangan. Anak saya suka pergi pantai, suka ke Port Dickson, kadang ke Pulau Pinang... jadi saya ikutkan sahaja," katanya.
Lagu baharu memateri kedudukan Misha Omar yang kekal relevan di dalam industri muzik tanahair.
Dalam perkembangan semasa, Misha kembali menghangatkan industri muzik dengan lagu baharu berjudul Break, hasil ciptaan penuh Melly Goeslaw dengan sentuhan penerbit tersohor, Tohpati.
Diterbitkan oleh Sony Music Entertainment, Break turut dipilih sebagai runut bunyi bagi drama Mandul Bukan Pilihan yang ditayangkan di Astro Ria dan sooka sejak 20 Jun 2025.
Walaupun tajuknya membawa maksud ‘jeda’, Break sebenarnya sarat dengan makna tersirat iaitu menggambarkan semangat Misha yang tidak pernah lelah dalam berkarya dan terus kekal relevan.
Dalam majlis pelancaran single terbaharunya itu, Misha menerima kejutan istimewa apabila penyanyi dan komposer tersohor Indonesia, Melly Goeslaw sanggup terbang ke Malaysia semata-mata untuk memberikan sokongan padu kepada penyanyi lagu Pulangkan itu.
“Ketika sedang menyanyi, dari kejauhan saya ternampak sosok tubuh yang menyerupai Melly. Dalam hati saya rasa mahu menangis, tapi saya tahan kerana perlu teruskan persembahan sebaik mungkin.
“Alhamdulillah, Melly turut menyanyi bersama saya. Saya sangat gembira. Sebagaimana beliau mengagumi saya, begitu juga saya terhadap beliau,” katanya.
Tambahnya lagi, kehadiran Melly benar-benar menyentuh hatinya kerana suara dan bakatnya kini mendapat pengiktirafan daripada figura hebat dari negara jiran.
“Saya sangat terharu kerana suara saya didengari oleh seorang yang bukan calang-calang dari Indonesia. Ia satu penghargaan yang sangat besar buat saya.”
Misha turut berkongsi bahawa impiannya untuk menyanyikan lagu ciptaan Melly akhirnya menjadi kenyataan menerusi Break, hasil kerjasama yang bermula dari mesej peribadi di Instagram.
“Rasa macam mimpi bila Melly sendiri DM saya untuk mengucapkan terima kasih kerana saya hadir ke konsert beliau sebelum ini.
“Bayangkan, saya sampai berlari keliling rumah sebab terlalu teruja membaca mesej itu! (ketawa) Terus saya ambil peluang minta lagu daripadanya… dan tak sangka, dia beri saya dua lagu sekali gus,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram