Saadiah dilantik sebagai pengerusi, langkah strategik kukuh kedudukan Sabah Electricity dalam landskap tenaga negara


  • Sukses
  • Isnin, 04 Ogos 2025

Pengerusi Sabah Electricity baharu ini bawa bersama lebih dua dekad pengalaman merentasi pelbagai sektor utama termasuk pengurusan projek, libat urus pemegang taruh dan pasaran modal.

SEORANG tokoh profesional berpengalaman luas dan lulusan institusi ternama di United Kingdom, Saadiah Aziz dilantik sebagai Pengerusi baharu Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) berkuat kuasa 31 Julai 2025.

Pelantikan beliau bagi menggantikan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang tamat tempoh perkhidmatannya sebelum ini.

Saadiah, 49, membawa bersama lebih dua dekad pengalaman merentasi pelbagai sektor utama termasuk pengurusan projek, libat urus pemegang taruh dan pasaran modal.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak belajar piano, suka berlakon, Misha Omar tetap tekankan akademik teras agar seimbang

BACA LAGI: [VIDEO] 'Duit kami sentiasa bagi', anak sulung Cik Da tampil bersuara, bongkar sebab sebenar ibu hidup sendirian dalam hutan

Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Naib Presiden Kanan di Khazanah Nasional Berhad yang berkhidmat selama 16 tahun.

Antara pencapaian terbesarnya termasuk menjadi sebahagian daripada pasukan perintis melaksanakan Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dari 2005 hingga 2015 iaitu satu inisiatif penting memperkukuh struktur tadbir urus dan prestasi sektor korporat negara.

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di Labuan Offshore Financial Services Authority (LOFSA) dan Malaysian Rating Corporation Berhad, menambahkan lagi kedalaman kepakarannya dalam bidang kewangan dan penilaian kredit.

Beliau merupakan graduan sarjana dalam dua bidang iaitu Pengurusan Strategik Projek dari University College London dan Pengurusan Kewangan dari Glasgow Caledonian University, United Kingdom.

Di samping itu, turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan mengikuti program eksekutif di satu lagi institusi bertaraf dunia, London Business School, London, England.

Pelantikan beliau disambut baik oleh seluruh warga Sabah Electricity termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Yaakob Jaafar yang miliki keyakinan terhadap kredibiliti dan kepimpinan Saadiah dalam menerajui hala tuju baharu syarikat utiliti tenaga itu.

“Kami percaya pengalaman dan wawasan beliau akan membawa dimensi baharu kepada Sabah Electricity, selaras dengan komitmen untuk terus menambah baik mutu perkhidmatan tenaga elektrik di Sabah,” kata Mohd. Yaakob dalam kenyataan.

Dengan latar belakang kukuh dan penglibatan dalam pelbagai inisiatif bertaraf nasional, pelantikan Saadiah dilihat sebagai langkah strategik ke arah memperkukuh kedudukan Sabah Electricity dalam landskap tenaga negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram