
DALAM dunia realiti hari ini, tidak sedikit pasangan yang memilih untuk terus tinggal sebumbung walaupun sudah bercerai sama ada kerana anak, tekanan kewangan atau sekadar belum bersedia untuk benar-benar berpisah.
Namun, di sebalik kelangsungan hidup seperti itu, ramai wanita tidak sedar bahawa mereka berada dalam kekeliruan dari sudut hukum, hak dan status diri.
Baru-baru ini, seorang wanita mendedahkan bahawa dia masih melakukan hubungan kelamin dengan bekas suami sepanjang tempoh iddah yang masih belum habis.
Ramai pasangan yang memilih untuk terus tinggal sebumbung walaupun sudah bercerai. — Gambar Hiasan
Wanita terbabit mempersoalkan tentang status iddah yang dijalani sama ada hubungan itu menyebabkan iddahnya terbatal atau adakah ia secara automatik dikira sebagai rujuk?
Lafaz rujuk tetap diperlukan
Menjawab perkara itu, Peguam Syarie, Asyraf A. Ranee menjelaskan bahawa iddah tidak terbatal hanya kerana berlaku hubungan kelamin dan ia juga tidak dianggap sebagai rujuk yang sah secara automatik.
“Kita di Malaysia, berpegang pada mazhab Syafie. Rujuk mestilah dilakukan dengan lafaz yang jelas. Ia tidak boleh hanya bergantung kepada perbuatan,” katanya kepada Majoriti.
Walaupun terdapat pandangan berbeza dari mazhab Hambali yang membenarkan rujuk melalui perbuatan, namun di Malaysia, segala pengesahan mahkamah berlandaskan mazhab Syafie.
Maka itu, jika tiada lafaz sama ada secara lisan atau bertulis maka rujuk tidak sah.
Peguam Syarie, Asyraf A. Ranee menjelaskan bahawa iddah tidak terbatal hanya kerana berlaku hubungan kelamin.
Jenis talak jadi penentu
Asyraf menjelaskan, bukan semua jenis perceraian membolehkan pasangan rujuk kembali dengan lafaz sahaja.
Jika perceraian itu dalam kategori talak raj’i seperti talak satu atau dua, maka rujuk boleh dibuat dalam tempoh iddah tanpa akad nikah baharu.
Sebaliknya, jika perceraian berlaku melalui fasakh atau talak tiga (bain kubra), maka pasangan tidak boleh rujuk semula begitu saja.
Mereka perlu mengangkat akad nikah baharu sekiranya ingin kembali menjadi suami isteri.
Asyraf berkata, perkara yang membimbangkan adalah apabila pasangan yang telah bercerai terus tinggal serumah dan kembali menjalani hubungan seperti biasa tanpa sebarang lafaz atau pengesahan rujuk.
“Situasi begini boleh menyebabkan anak yang lahir dalam tempoh itu dianggap tidak sah taraf kerana dari sudut undang-undang dan agama, pasangan tersebut tidak lagi sah sebagai suami isteri,” katanya.
Beliau juga menekankan bahawa jika benar ada hasrat untuk hidup kembali sebagai suami isteri, lafaz rujuk perlu dilakukan sekurang-kurangnya secara lisan dan sebaiknya didaftarkan di pejabat agama untuk pengesahan mahkamah.
“Kalau boleh hidup bersama, kenapa susah untuk lafazkan rujuk. Kalau tak mampu ke pejabat agama pun, lafazkan sahaja secara berdepan. Tapi pastikan ia dilakukan secara sah,” jelasnya.
Jangan biarkan diri ‘gantung tak bertali’
Asyraf turut memberi peringatan khusus kepada wanita yang masih tinggal bersama bekas suami selepas tempoh iddah.
“Selepas tamat iddah, mengikut hukum, isteri sudah tidak boleh tinggal lagi di rumah suami. Bekas suami pula wajib keluar jika wanita itu masih dalam iddah,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram