[VIDEO] Ibu masih hilang disembunyi bapa, akaun KWSP licin sejak 2016


  • Bonda
  • Jumaat, 01 Ogos 2025

Omar luah rasa sebak dalam video sempena ulang tahun ke-50 ibu mentuanya yang masih gagal dihubungi.

KELUARGA kepada seorang wanita dikenali sebagai Afiza Awang, 50, masih menanti perkembangan terbaharu selepas mendakwa dia dibawa keluar secara tiba-tiba dari sebuah rumah jagaan oleh suaminya dalam kejadian awal pagi 29 Julai lalu.

Menjelang sambutan ulang tahun kelahiran Afiza yang ke-50 pada 1 Ogos, menantu beliau, Omar H. Rizal, tampil sekali lagi dengan satu luahan penuh emosi di Instagram.

Omar menceritakan kegelisahan yang menyelubungi dirinya dan isteri, Ainu Zahira, sejak kehilangan ibu mereka.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Itu buku ilmu, bukan sampah!', ramai kecam tindakan Arrora Salwa herdik, campak buku sekolah anak tiri

BACA LAGI: [VIDEO] Ibu diambil secara tiba-tiba dari rumah jagaan selepas diserbu polis, keluarga bimbang, dakwa diabai dan diasing sejak 2015

"Saya tidak dapat tidur sehingga pukul 4 pagi. Masa saya tertidur, saya mimpikan ibu. Dia bersembunyi di suatu tempat, menangis dan berdoa agar kami jumpa dia," katanya dalam satu video berdurasi hampir dua minit di Instagram.

Omar mendakwa tindakan membawa keluar Afiza secara mengejut itu telah melanggar persetujuan yang dicapai sebelum ini antara pihak suami, dirinya, Ainu serta empat orang pegawai polis.

Lebih menyedihkan, kejadian tersebut berlaku hanya beberapa hari sebelum hari lahir Afiza yang juga merupakan tarikh penting kerana membolehkan akses kepada dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya.

Omar turut meluahkan kebimbangannya terhadap keadaan ibu mentuanya yang telah lama diasingkan daripada dunia luar sejak 2015.

"Dia tiada telefon dan sebenarnya dia tidak tahu macam mana nak gunakannya. Itulah sejauh mana dia telah diasingkan. Dia tidak tahu apa-apa tentang dunia luar," jelasnya.

Beliau turut menyeru agar orang ramai yang mungkin mempunyai maklumat atau kebetulan bertemu dengan Afiza untuk membantu menyalurkan sebarang perkembangan kepada keluarga.

"Kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk berjuang demi ibu. Kami minta maaf jika kami lambat atau ada kekurangan. Tetapi ingatlah, semua orang sayangkan ibu. Jangan rasa seperti tiada siapa peduli," luahnya dalam nada sebak.

Majoriti sebelum ini melaporkan Omar dan isteri mendakwa Afiza telah lama dikawal dan diasingkan oleh suaminya, termasuk tidak dibenarkan berhubung dengan anak-anak. 

Dalam satu perkembangan terbaharu, Omar tampil di hadapan pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) cawangan Petaling Jaya dan mendedahkan bahawa kesemua wang simpanan milik Afiza telah dikeluarkan pada 2016.

"Mengikut rekod, semua akaun KWSP Afiza Binti Awang telah dikeluarkan sekitar tahun 2016 dan dimasukkan ke dalam akaun Maybank atas nama beliau sendiri, di bawah kategori kurang upaya.

"Jadi kami memang dah terlambat 10 tahun," tambahnya, sambil menyatakan bahawa mereka akan terus menyiasat dan mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu berkenaan.

Mereka turut mempersoalkan keadaan kebajikan dan kesihatan Afiza sepanjang berada dalam jagaan suaminya kira-kira sedekad lalu.

Tindakan Omar dan isteri membuat rayuan awam di media sosial mendapat perhatian meluas orang ramai yang turut bersimpati dengan nasib menimpa wanita berkenaan.

Setakat ini, masih belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai kedudukan semasa Afiza atau sebarang siasatan berkaitan kes tersebut.

Keluarga masih berharap agar pihak bertanggungjawab tampil memberikan penjelasan dan memastikan keselamatan wanita terbabit terjamin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram