'Dah tak ada orang boleh hina kita lagi', selepas ketepikan impian sendiri selama 15 tahun demi adik-adik yatim piatu, abang akhirnya genggam ijazah


  • Cinta
  • Sabtu, 02 Ogos 2025

Seorang lelaki akhirnya menggenggam segulung ijazah pada usia 30 tahun selepas banyak berkorban demi adik-adiknya.

DEMI membalas pengorbanan seorang abang yang menjadi tulang belakang keluarga sejak remaja, seorang pelajar wanita dari Sabah sanggup menempah jurugambar konvokesyen, bukan untuk dirinya, tetapi untuk meraikan detik bersejarah abangnya yang akhirnya menggenggam segulung ijazah pada usia 30 tahun.

Kisah menyentuh hati ini dikongsikan jurufoto profesional, Yusran.AI, menerusi satu hantaran di media sosial.

Menurut Yusran, dia menerima mesej daripada pelajar wanita itu yang menyatakan hasrat untuk menempah sesi fotografi dua jam sempena majlis konvokesyen.

“Abang dia umur dah 30 baru habis belajar sebab utamakan mereka adik-beradik. Parents dah lama tak ada. Jadi, hari konvo tu cuma mereka adik-beradik yang datang. Dia minta saya tunggu depan dewan selepas tamat sesi petang,” kata Yusran.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak belajar piano, suka berlakon, Misha Omar tetap tekankan akademik teras agar seimbang

BACA LAGI: [VIDEO] Masih serumah dalam tempoh iddah, bukan semua perceraian boleh rujuk dengan sekadar lafaz sahaja

Pada hari kejadian, Yusran hadir 30 minit lebih awal dan sempat berbual dengan si adik untuk mengenali latar belakang keluarga mereka. 

Dari situ, tersingkaplah kisah sebenar mengenai pengorbanan si abang.

Difahamkan, ibu bapa mereka telah meninggal dunia 15 tahun lalu. 

Sejak itu, si abang mengambil alih tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan bekerja keras siang malam, melakukan pelbagai pekerjaan demi menyara dan menyekolahkan tiga orang adik sehingga kesemuanya berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah.

“Dia cerita, lepas si bongsu masuk universiti, abang dia pula suarakan hasrat nak kejar impian yang tertangguh. 

"Dia ambil semula SPM, masuk program asasi dan teruskan ke peringkat ijazah sambil tetap bekerja macam biasa,” kongsi Yusran.

Lebih menyentuh hati, menurut Yusran, si abang langsung tidak tahu bahawa adik-beradik dan ahli keluarga mereka telah merancang satu kejutan khas untuknya pada hari konvokesyen. 

Turut hadir memberi sokongan ialah pakcik dan makcik mereka dari Shah Alam yang selama ini banyak membantu.

“Lepas keluar je dari dewan, adik-adik dia terus peluk dia sambil menangis. Saya terdengar salah seorang kata, ‘Along, alhamdulillah sudah selesai. Lepas ni tak ada sudah orang hina kita.’ Abang dia pun terus menangis, peluk semua adik dia,” katanya.

Yusran turut menggambarkan kontras jelas antara si abang dan adik-adiknya. 

"Abang dia kulit gelap agak kurus tinggi sementara adik-adik semua putih melepak. Nampak yang abangnya kerja dulu demi adik-adik sampai tak terurus diri. Aku faham struggle abang dia tu utamakan," katanya. 

Perbezaan itu, menurutnya, cukup untuk membayangkan betapa si abang telah mengenepikan kepentingan diri sendiri demi masa depan adik-adiknya.

Tersentuh dengan pengorbanan luar biasa itu, Yusran membuat keputusan untuk tidak mengenakan sebarang bayaran bagi sesi fotografi tersebut.

“Setiap bulan saya akan pilih satu klien untuk saya hadiahkan sesi fotografi secara percuma sebagai sedekah. Hari itu, saya tahu itu rezeki mereka. Saya tak sanggup ambil bayaran,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya meluahkan rasa terharu dan mendoakan kebaikan buat Yusran serta keluarga tersebut.

“Alhamdulillah, semoga jurufoto dilimpahkan lagi rezeki dan keberkatan,” tulis Noor Sham Ibrahim.

“Terima kasih kerana berkongsi kisah yang menyentuh hati. Semoga Allah murahkan rezeki saudara dan gantikan setiap sedekah dengan kehidupan yang tenang, rezeki melimpah dan hati yang bahagia,” tulis Salinadenis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram