
DALAM sesebuah rumah tangga, kasih sayang bukan hanya ditunjukkan melalui pelukan di kala senang, tetapi juga melalui nasihat yang diungkap saat pasangan hampir hilang arah.
Seorang isteri bukan sekadar teman hidup, tetapi juga merupakan pendamping setia yang memahami, menyokong dan melindungi biarpun dalam diam.
Itulah yang cuba disampaikan oleh seorang pengguna Threads, Yulfatihah menerusi satu hantaran di media sosial.
"Mengapa isteri tidak pernah berhenti menasihati suaminya? Kerana apabila suami ditimpa masalah, orang pertama yang turut merasai kesannya ialah isteri," katanya.
Isteri merupakan pendamping setia yang menyokong segala tindakan suami dan anak. — Gambar Hiasan
Hantaran itu menerima pelbagai reaksi daripada warganet, khususnya dalam kalangan wanita yang turut merasai realiti tersebut.
Rata-rata bersetuju bahawa nasihat seorang isteri bukanlah sekadar teguran, sebaliknya cerminan keprihatinan dan cinta terhadap suaminya.
Antaranya, seorang pengguna, Farizaaa Linda menyokong kenyataan tersebut.
“Isteri ialah orang yang paling layak menasihati suami kerana setiap nasihat itu lahir daripada keinginan untuk melihat suaminya menjadi yang terbaik," katanya.
Seorang lagi pengguna, Yusrinaisa memberi komen yang ringkas namun penuh makna.
“Sangat bersetuju," katanya.
Turut memberi pandangan, Wanderlowe yang menekankan kepentingan saling terbuka antara suami dan isteri dalam menerima nasihat.
“Selagi bergelar suami isteri, kedua-duanya perlu berlapang dada untuk ditegur dan menegur.
"Tiada pasangan yang berkahwin hari ini mahu berpisah keesokannya. Rumah tangga itu kita sendiri yang bentuk dan corakkannya," katanya.
Sementara itu, Waneemummyfaiqfaheemfahri berkongsi pandangan yang lebih menyentuh sisi emosi dalam hubungan.
“Isteri tahu apa yang suami rasa dan lalui. Bila suami ada masalah, dia akan cari orang yang dia percaya lalu berkata, ‘Awak, saya ada berita buruk nak sampaikan.’ Sebagai isteri, menjadi pendengar setia sahaja sudah cukup untuk meringankan beban itu. Doa kita juga sentiasa naik ke langit.
“Suami menjadikan isteri sebagai sahabat baik. Jarang saya membantah, kerana dia tahu apa yang terbaik dan bagaimana mencari jalan keluar. Apa yang suami mahukan ialah isteri yang taat dan memahami, bukan yang banyak mengarah atau meninggikan suara," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram