[VIDEO] 'Kita perlu tahu bila masa untuk pergi', Uyaina Arshad undur diri dari WHI selepas 9 tahun


  • Maya
  • Rabu, 30 Jul 2025

Uyaina Arsyad mahu mengorak langkah menuju sesuatu yang baharu.

PENGACARA dan personaliti televisyen, Uyaina Arshad mengumumkan pengunduran dirinya daripada program Wanita Hari Ini (WHI) selepas sembilan tahun menjadi wajah utama rancangan popular terbitan TV3 itu.

Berita itu dikongsikan Uyaina menerusi satu hantaran di laman Threads dengan menyatakan bahawa keputusan tersebut dibuat bukan kerana sebarang konflik, tetapi kerana sudah tiba waktunya untuk membuka lembaran baharu dalam kerjayanya.

"Hari ini adalah hari terakhir Uyaina mengacarakan program Wanita Hari Ini. Uyaina yang memilih untuk pergi.

"Tak ada sengketa, tak ada salah faham. WHI adalah rumah saya. Dan pasukan WHI adalah keluarga saya," tulisnya.

BACA LAGI: Berselingkuh dengan rakan pejabat ibarat cinta 'Romeo and Juliet', hubungan terlarang, tapi sukar putus — Pakar psikologi

BACA LAGI: 'Saya trauma baca kes Zara Qairina', Adira saran ibu bapa harus didik anak jangan jadi pembuli, elak diri dibuli

Bagi Uyaina, keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. 

Namun, setelah hampir sedekad menjadi sebahagian daripada program itu, beliau percaya sudah tiba masanya untuk melangkah ke fasa seterusnya.

"Kadang-kadang, kita perlu tahu bila masa untuk pergi. Pencapaian terbesar saya ialah diberi kepercayaan tahun demi tahun untuk mengemudi program sehebat WHI.

"Sembilan tahun bukan satu tempoh yang singkat. Masya-Allah, saya sangat bangga," katanya. 

Dalam catatan sama, Uyaina turut mengenang detik awal pembabitannya dalam dunia penyiaran menerusi WHI, program yang menjadi titik permulaan dan asas kepada pembentukan dirinya sebagai pengacara.

"Di sinilah saya belajar menjadi seorang pengacara yang baik. Menyusun setiap kata, menjaga sensitiviti, menghidupkan suasana dan menyampaikan ilmu sebaiknya kepada penonton," katanya. 

Beliau tidak lupa menzahirkan penghargaan kepada mentor serta rakan-rakan hos yang pernah bergandingan dengannya sepanjang sembilan tahun itu termasuk Kak Rena, Kak Fiza, Fahrin Ahmad, Sugee, Fatin dan Syira.

Dalam sebuah rakaman video itu, Uyaina turut mengakui hari terakhirnya di WHI sebagai saat yang penuh sentimental dan sukar dilupakan.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal,” katanya.

Rakan-rakan setugas di WHI menyifatkan Uyaina sebagai figura yang bukan sahaja bijak dan profesional, tetapi juga menyerlah dengan personaliti ceria, menyenangkan dan berdedikasi.

Beautiful with brain. Great,” kata mereka dalam rakaman perpisahan tersebut.

Meskipun belum mendedahkan secara terperinci hala tuju seterusnya, Uyaina menzahirkan keterujaan dan harapan terhadap masa depan yang bakal ditempuh.

“Saya sangat teruja dan berharap untuk apa yang seterusnya. Doakan Uyaina tau! Dan semoga kita semua dapat berjumpa lagi, kalau bukan di sini, mungkin di 1001 kesempatan yang lain," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram