
RIZAB Diraja Putera Mohammed Salman (PMBSR) mencipta sejarah tersendiri dengan melancarkan pasukan renjer laut wanita pertama di Timur Tengah, Arab Saudi bertepatan dengan sambutan Hari Renjer Sedunia pada Khamis.
Pasukan renjer wanita itu akan berganding bahu dengan renjer lelaki dan Pengawal Sempadan Arab Saudi untuk menjalankan rondaan di sepanjang 170 kilometer pesisir pantai Laut Merah.
Inisiatif itu merupakan satu langkah progresif ke arah pemuliharaan alam sekitar yang lebih inklusif, selaras dengan aspirasi Wawasan 2030.
Dengan penyertaan baharu itu, jumlah keseluruhan anggota renjer PMBSR kini mencecah 246 orang, di mana wanita merangkumi 34 peratus iaitu hampir mencapai sasaran Wawasan 2030 dan jauh melebihi purata global renjer wanita yang hanya 11 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif PMBSR, Andrew Zaloumis menganggap isu ketidakseimbangan gender, khususnya dalam peranan marin masih menjadi cabaran.
"Sejak pengambilan renjer pertama kami pada 2021, kami komited untuk memastikan keterangkuman.
"Kini, wanita turut memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan pemuliharaan di Arab Saudi," katanya.
Kesemua tujuh renjer laut wanita yang baru dilantik itu telah berjaya menamatkan latihan intensif di bawah bimbingan seorang pakar pemuliharaan marin dari Afrika Selatan, Dominique du Toit yang juga bertindak sebagai Pengurus Wilayah Kanan Rizab.
Latihan yang dimulakan pada Julai 2024 itu melibatkan aspek kemahiran renang, keselamatan laut serta pemantauan ekosistem marin.
Kejayaan mereka menyertai pasukan rondaan laut secara aktif merupakan pencapaian yang membanggakan.
“Latihan ini mencerminkan semangat dan dedikasi luar biasa mereka.
“Kejayaan ini bukan sahaja bermakna buat Rizab, tetapi turut memberi inspirasi kepada usaha pemuliharaan marin di seluruh rantau,” kata du Toit.
Zon marin Rizab meliputi keluasan 3,856 kilometer persegi, bersamaan 1.8 peratus daripada keseluruhan perairan wilayah Arab Saudi.
Ia menjadi habitat penting kepada 64 peratus spesies batu karang negara, 22 peratus spesies ikan serta hidupan marin terancam seperti penyu, ikan lumba-lumba Spinner, Dugong, ikan yu paus dan ekosistem bakau kelabu yang bernilai tinggi.
Rondaan harian dijalankan menggunakan dua kapal khas yang direka untuk memastikan pemantauan berterusan serta perlindungan terhadap khazanah alam laut itu.
Sejak 2022, pasukan renjer Rizab telah melaksanakan hampir 35,000 rondaan darat dan laut.
Selain rondaan, renjer turut terlibat dalam pemantauan ekologi, pelepasan semula hidupan liar, pengurusan pelancongan lestari serta pematuhan terhadap penilaian impak alam sekitar dan sosial. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram