DJ hijabis dari Ipoh, Miko Naiko mula tawan pentas muzik antarabangsa


  • Sukses
  • Selasa, 29 Jul 2025

Miko Naiko bersedia menggegarkan pentas Pestapora Jakarta dengan gaya dan identitinya yang unik.

DI sebalik gig bawah tanah dan pesta muzik antarabangsa, muncul satu nama perlahan-lahan mencabar norma.

Individu itu ialah Miko Naiko, DJ wanita berhijab dari Ipoh, Perak.

Dalam industri muzik elektronik sering dipenuhi stereotaip terhadap penampilan dan jantina, Miko tampil dengan identiti tersendiri, bertudung, berpakaian serba hitam, namun menyajikan set acid house dan techno keras sehingga mampu menggegarkan pentas.

BACA LAGI: Menantu dilema, keluarga jadi dingin lepas bapa mentua 'terjah' masuk bilik waktu susukan anak

BACA LAGI: Dulu bapa 'kaki buli', minta duit orang, kini cari sekolah persekitaran selamat untuk anak, kifarah datang perlahan-lahan

Pada usia 26 tahun, Miko bakal mengorak langkah terbesar dalam kariernya apabila dijemput menyertai barisan pemuzik di Pestapora Jakarta, salah satu festival muzik terbesar di Indonesia.

Lebih membanggakan, beliau satu-satunya DJ Malaysia tersenarai sebaris dengan ikon tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Ipoh bukan hanya melahirkan artis legenda, tetapi juga bakat muzik bawah tanah yang berani memecah tradisi.

Sharifah Syauqina atau lebih dikenali sebagai Miko Naiko, mula berjinak-jinak dengan dunia DJ sejak remaja.

Minatnya bermula seawal usia 15 tahun selepas jatuh cinta dengan set Tomorrowland di YouTube.

Beliau mengajar dirinya sendiri cara mixing, dan selepas tamat SPM, menerima dek DJ pertama daripada ibu bapanya sebagai tanda sokongan terhadap minat seriusnya.

"Keluarga saya faham dunia seni. Mak saya pun pernah jadi kurator seni. Jadi mereka tak skeptikal dengan dunia underground, malah sokong penuh," kata Miko dalam temu bual asal bersama Noisy Head.

Tahun 2018 menjadi detik penting apabila Miko membuat persembahan pertama pada gig hip-hop bawah tanah di Ipoh.

Sejak itu, beliau terus aktif menjayakan pelbagai gig dan festival di seluruh Malaysia, termasuk jelajah ke Singapura dan Indonesia serta membuat kemunculan sulung di festival Atas Angin tahun lalu.

Kemunculan di Pestapora pula datang hasil kerjasama dengan platform Asia Tenggara Align Online SEA, yang memperkenalkan Miko kepada Wok The Rock, kurator pentas Yes No Klub.

"Saya kenal Align masa jadi tetamu dalam siri radio mereka Disember lepas. Bila penganjur minta cadangan, mereka pilih saya. Tapi saya kena diam dulu sampai lineup rasmi keluar Julai," katanya.

Selain menjadi DJ, Miko turut bereksperimen dalam muzik noise dan ambient.

Dalam satu jelajah kecil bersama rakan-rakan dari Indonesia, beliau menghasilkan trek berjudul Nepacirna Ijaw dalam EP split Pancawala, karya pertamanya sebagai penerbit.

"Track tu pasal perjalanan emosi saya sendiri, ada bahagian yang tenang, ada yang kacau-bilau. Saya cuba terjemah apa yang saya rasa ke dalam bunyi."

Identitinya sebagai DJ berhijab sering menjadi perbualan, tetapi Miko enggan tunduk pada tanggapan negatif.

"Saya tahu ramai masih skeptikal dengan imej DJ, apatah lagi bila saya pakai tudung. Tapi bagi saya, ini hanyalah medium untuk ekspresi muzik, bukan berkaitan gaya hidup liar."

Katanya, ramai masih mengaitkan DJ dengan budaya hedonistik.

Namun bagi Miko, muzik adalah satu bentuk seni dan alat komunikasi, bukan untuk glamor atau pengiktirafan kosong.

"Saya tak ambil sebarang bahan, tapi saya masih rasa adrenaline bila main set. Ia pasal bagaimana muzik buat saya rasa hidup."

Sebagai langkah persediaan ke Pestapora, Miko kini giat menghasilkan lagu-lagu baharu dengan sasaran beliau ialah untuk debut sekurang-kurangnya tiga trek original pada persembahan September ini.

"Saya perfectionist, jadi saya selalu rasa tak cukup bagus. Tapi tahun ni saya nak push diri untuk hasilkan dan kongsi lebih banyak karya."

Miko juga mengakui bahawa beliau banyak belajar daripada DJ lain termasuk rEmPiT g0dDe$$, figura penting yang membuka ruang untuknya tampil di peringkat antarabangsa dan memperkenalkan beliau kepada komuniti muzik bawah tanah serantau.

Selepas hampir 10 tahun bergelumang dalam dunia DJ, Miko Naiko berdiri megah dengan identiti yang unik, prinsip muzik terbuka dan semangat untuk terus berkembang.

"Ramai kata DJ perempuan ni hanya bergantung pada rupa. Tapi saya percaya yang akhirnya, skil dan usaha akan cakap sendiri." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram