
ADA sesuatu yang menyenangkan tentang bau segar dan lembut pakaian baru dicuci, lebih-lebih lagi jika kita sendiri menghasilkan campuran cucian semula jadi itu daripada bahan dapur.
Siapa sangka, gabungan kulit oren dan cuka putih yang biasa diabaikan rupa-rupanya mampu mengubah pengalaman membasuh pakaian menjadi lebih wangi, mesra alam dan jimat belanja?
Petua ini bukan sahaja menjadikan pakaian lebih bersih, malah ia turut membawa kepuasan kerana dihasilkan sendiri tanpa bahan kimia berlebihan.
BACA LAGI: Pelajar lebih berdisiplin, berdaya saing, ini panduan ibu bapa kali pertama daftar anak ke SBP
Gabungan kulit oren dan cuka juga boleh bertindak sebagai pelembut kain. — Gambar hiasan/Agensi
Jika anda mahukan pakaian dan tuala yang lembut serta harum tanpa perlu menggunakan pelembut fabrik mahal, cuka putih sering menjadi pilihan.
Namun, seorang pakar tip rumah, Julia Hunt mendedahkan satu bahan tambahan dari dapur yang mampu menjadikan hasilnya lebih segar dan menyenangkan, iaitu kulit oren.
Dalam sebuah video di Instagram, Julia berkongsi cara menghasilkan campuran cuka yang direndam bersama kulit oren sebagai alternatif kepada pelembut fabrik.
Beliau menyarankan agar kulit oren direndam ke dalam cuka putih selama dua sehingga tiga minggu, kemudian ditapis dan digunakan sebanyak setengah cawan bagi setiap cucian, sama ada dalam kitaran bilas atau di ruang khas untuk pelembut fabrik.
Kulit oren bukan sekadar berbau harum, malah ia juga mengandungi asid sitrik yang membantu mencerahkan pakaian dan menanggalkan kotoran, D-limonene yang bertindak sebagai penanggal minyak, serta sifat antibakteria semula jadi.
Manakala cuka putih pula meneutralkan bau busuk, mencerahkan fabrik dan melarutkan sisa sabun tanpa meninggalkan bau kuat cuka itu sendiri.
Kos untuk menghasilkan campuran ini sangat rendah, iaitu sekitar RM10 sahaja.
Dengan sebotol cuka putih berharga tidak lebih RM10 dan sebiji oren kurang daripada RM2, buahnya boleh dimakan terlebih dahulu manakala kulitnya digunakan sebagai bahan tambahan, menjadikan kaedah ini lebih menjimatkan dan mesra alam.
Soda penaik juga boleh menjadi alternatif bagi anda yang tidak gemarkan bau oren dan cuka. — Gambar hiasan/Agensi
Pengikut Julia di platform berkenaan turut berasa teruja dengan idea tersebut. Ramai yang memuji bau segar oren dan tidak sabar mahu mencuba sendiri.
Jika anda menghadapi masalah bau hapak pada tuala atau pakaian sukan, Julia turut mencadangkan menambah lima sehingga 10 titis minyak pokok teh ke dalam sabun pencuci.
Ia membantu membasmi bau yang melekat terutama pada fabrik yang menyerap kelembapan.
Bagi yang tidak gemarkan bau oren, cuka mahupun minyak pokok teh, satu lagi pilihan semula jadi ialah soda penaik (baking soda).
Soda penaik berupaya mengimbangkan tahap pH air cucian yang membantu sabun berfungsi dengan lebih berkesan dan menghasilkan cucian yang lebih bersih.
Dengan harga sekitar RM10 untuk satu kilogram (kg), ia boleh digunakan untuk merawat kotoran sebelum mencuci atau sebagai penambah kekuatan sabun.
Tambah setengah cawan baking soda bersama sabun pencuci atau ke dalam kitaran bilas untuk menyingkirkan bau dan sisa sabun dengan berkesan, sekali gus memberikan hasil cucian yang bersih tanpa sebarang pewangi tiruan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram