Dulu bapa 'kaki buli', minta duit orang, kini cari sekolah persekitaran selamat untuk anak, kifarah datang perlahan-lahan


  • Bonda
  • Selasa, 29 Jul 2025

Dulu pembuli, kini cari sekolah tiada buli untuk anak. — Gambar Hiasan

ADA sesuatu tentang masa silam yang susah untuk hilang begitu sahaja.

Kadang-kadang ia datang dalam bentuk trauma ataupun kifarah menyakitkan seluruh keluarga.

Itulah cuba dikongsikan oleh Muhamad Amir Hakim dalam satu hantaran di Threads baru-baru ini, yang mengundang perbincangan hangat orang ramai tentang kisah pembuli sekolah dan balasan hidup mengejutkan.

BACA LAGI: Dekorasi kediaman mesra haiwan, pencinta kucing wajib ambil tahu!

BACA LAGI: Konsep Modern Zen Jepun simbolik kedamaian, praktikal — Shadee Hizami

Segalanya bermula apabila seorang ibu berkongsi persoalan di media sosial mengenai sekolah mana bebas daripada kes buli.

Kelihatan seperti soalan biasa, ibu bapa mencari persekitaran selamat untuk anak-anak.

Namun, apa yang menyentak Amir adalah gambar profil individu tersebut sekeluarga dengan seorang lelaki cukup dikenali.

Si suami yang pernah menjadi mimpi ngeri ramai rakan-rakan di sekolah dahulu.

Tanpa berselindung, Amir berkongsi pengalamannya kerana suami wanita itu pernah menjadi pembuli.

"Basuh baju suruh orang, makan suruh orang hantar, minta duit orang, sampai mi segera pun kau suruh orang buat.

"Sampai tua saya fobia," luah Amir, menggambarkan kesan psikologi yang masih kekal hingga hari ini.

Ironinya, lelaki yang dulu mencipta trauma kini sedang mencari sekolah 'tiada buli' untuk anaknya.

Di sinilah orang ramai mula menyebut tentang kifarah bahawa setiap kezaliman akan kembali dalam bentuk balasan, tidak kira sama ada lambat atau cepat.

Ribuan pengguna Threads menyahut perkongsian itu dengan pengalaman masing-masing.

Seperti @miza_harun yang dibuli kerana gemuk, kini melihat doanya agar si pembuli berkahwin dengan wanita lebih besar dimakbulkan.

Ada juga menulis tentang pembuli kini hidup sebagai penagih dadah dan ada bergelar cikgu sekolah rendah, mencuit rasa lucu dan geram dalam masa sama.

Seorang pengguna, @hana_shine89, menyenaraikan tiga pembuli lamanya, seorang memohon maaf pada usia 30-an, seorang lagi kini gemuk dan terakhir aktif dalam kempen 'anti-bullying' di Instagram. "Berani betul," tulisnya sinis.

Dunia ini bulat, hari ini mungkin kita di atas, esok mungkin anak kita pula menjadi mangsa kepada sikap kita dahulu.

Maka, sebelum kita bertanya tentang sekolah 'tiada buli' untuk anak, tanyalah dulu adakah kita pernah menjadi punca trauma kepada anak orang lain? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram